Monday, December 29, 2003

Gejala samseng Melayu di Ipoh

Saudara Pengarang,

PEMBUNUHAN seorang remaja, Mohamad Hosni Mohd Amin di Silibin, Ipoh sememangnya menggemparkan bandar raya itu yang 25% daripada kira-kira 500,000 penduduknya adalah Melayu.

Mungkin telah ramai yang mengetahui tentang kewujudan kumpulan-kumpulan samseng Melayu yang berselindung di sebalik pertubuhan kebajikan yang sah hanya untuk menghuru-harakan hierarki sosial kaum Melayu terutamanya golongan muda.

Ramai golongan muda Melayu di Ipoh tahu akan sikap dan kesamsengan anak-anak orang kenamaan yang suka berkumpul di kelab-kelab malam di Ipoh Garden.

Mereka ini meletakkan diri mereka sebagai golongan atasan yang layak melakukan apa sahaja ke atas sesiapa sahaja dan dilindungi oleh pihak-pihak tertentu.

Bagaimanapun, kesamsengan mereka hanya ditumpu kepada golongan muda Melayu. Betapa rosaknya generasi hari ini.

Diharapkan pihak polis dapat membanteras sehingga licin semua anasir samseng yang menyusahkan masyarakat itu, sekalipun anak-anak mereka sendiri. - MELUAT, Kuala Lumpur.

Forum, Utusan Malaysia, 29 Disember 2003

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2003&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_06.htm

Monday, June 30, 2003

Kekalkan sejarah KL sebagaimana tertulis

Saudara Pengarang,

MERUJUK kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Lembaga Adat Mendailing (Lama), Mohd. Azli Mohd. Azizi dalam Utusan Malaysia 26 Jun 2003 yang mendakwa bahawa Kuala Lumpur sebenarnya dibuka oleh masyarakat Mendailing, saya ingin mengutarakan maklum balas berhubung perkara tersebut.

Kepada mereka yang berpegang kepada sejarah Tanah Melayu, memang terbukti bahawa masyarakat Mendailing telah menjadi pelopor kepada pembukaan beberapa penempatan utama di pantai barat Semenanjung Malaysia termasuk Kuala Lumpur dan Ipoh. Hal ini sebenarnya telah berlaku sekian lama sejak Tanah Melayu terletak di bawah naungan Acheh antara tahun 1550 - 1640. Kewujudan penempatan-penempatan ini sebagai kampung Melayu tradisi telah bertahan untuk sekurang-kurangnya 200 tahun sebelum British membawa arus kemodenan untuk mengubah kawasan-kawasan kampung tersebut menjadi bandar-bandar yang dilengkapi prasarana sebuah perbandaran.

Sepanjang tempoh sebelum masyarakat Bugis menubuhkan kerajaan beraja Selangor sekitar pertengahan abad ke-18, Penghijrahan masyarakat Mendailing adalah sezaman dengan penaklukan Acheh di tanah semenanjung.

Semestinya penempatan mereka antara Sungai Klang sehingga ke Gombak telah mencetuskan pembukaan awal kawasan Kuala Lumpur sebagai kampung-kampung tradisi selama beratus tahun. Secara umumnya, masyarakat Mendailing dilihat sebagai peneroka gigih yang membuka penempatan tetapi gagal menguasai kawasan tersebut apabila ia menjadi maju.

Begitu juga Datuk Panglima Kulop Kinta yang dipercayai berketurunan Mendailing yang memelayukan Kampung Ipoh yang dibuka oleh Orang Asli. Lembah Kinta diteroka oleh masyarakat Mendailing telah didiami kaum pribumi Orang Asli. Apa yang tinggal hari ini, tiada tinggalan budaya masyarakat Mendailing yang boleh dilihat di Lembah Kinta yang hanya 30 peratus daripada 700,000 orang penduduknya terdiri dari orang Melayu dari berbagai keturunan.

Dengan memberi penjelasan pada fakta sejarah negara tentang penerokaan Mendailing, akan timbul pemikiran yang lebih cenderung ke arah kajian ketempangan orang-orang Melayu yang berpuak-puak serta penerokaan ke atas tanah yang telah pun diteroka. Kita tentu kurang enak untuk mendengar kata-kata sesetengah bukan Melayu yang mendakwa bahawa seluruh orang Melayu tidak kira apa keturunan merupakan kaum pendatang yang tiba awal 300 tahun sebelum mereka dan menjuruskan pertikaian status bumiputera.

Pembukaan Mendailing ke atas Kuala Lumpur bukanlah sesuatu yang purba dan ia merupakan sezaman dengan revolusi budaya di Barat. Maka, sejarah Kuala Lumpur yang tertulis hari ini wajar dikekalkan demi menzahirkan asas kewujudan sebuah bandar, bukannya sebuah kampung.

Seperkara yang saudara Azli perlu ingat, kita hanya terjajah oleh Barat sejak 1824 apabila Perjanjian London ditandatangani tetapi kita tetap mengatakan bahawa kita dijajah 446 tahun semenjak 1511 walhal Portugis dan Belanda hanya berjaya menjajah kota Melaka.
Pada suatu ketika seluruh Semenanjung berada di bawah Acheh selama sekurang-kurangnya 100 tahun di dalam zaman Portugis dan Belanda.

Kita tetap mengatakan bahawa kegemilangan Melayu terakhir di Malaysia adalah Melaka, tetapi kita tidak menyebut Acheh kerana situasi politik pasca penjajahan Barat yang mempengaruhi sempadan Nusantara hari ini. Terdapat beberapa perkara yang tidak perlu didedahkan oleh sukatan pendidikan sejarah negara dan hanya bangsa itu sendiri perlu untuk menjejak sejarah masing-masing dan dibukukan dan ditatap oleh anak cucu mereka. - CUCU MELAYU ACHEH, Ipoh, Perak.

Forum, Utusan Malaysia, 30 Jun 2003

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2003&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm