Monday, January 31, 2005

Menjaga alam sekitar boleh elak malapetaka

Saudara Pengarang,

JEREBU yang kini dialami di pantai barat Semenanjung boleh dikatakan luar biasa kerana berlaku ketika angin bertiup dari arah utara dan timur laut.

Semasa jerebu berlaku ketika angin bertiup dari selatan dan barat daya, kita pantas meletakkan punca jerebu tersebut kepada pembakaran hutan di Sumatera.

Kali ini, sudah tentu punca jerebu yang berlaku adalah dari dalam negara kita sendiri akibat pembakaran terbuka ketika musim kering sebegini oleh pihak yang tidak mempunyai sensitiviti terhadap alam sekitar.

Sekiranya setiap individu di negara ini peka dan prihatin terhadap cuaca tahunan, pelbagai perkara dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya menjadi sesuatu yang perlu diambil perhatian demi keselamatan manusia itu sendiri.

Setiap tahun, biasanya tempoh Januari hingga hujung Mac dan Jun hingga September merupakan tempoh kering di Semenanjung. Tempoh ini mengakibatkan empangan surut, nyamuk membiak di parit-parit dan sungai serta belukar dan hutan mudah terbakar.

Jika masyarakat keseluruhannya peka terhadap perkara ini, penggunaan air dapat dijimatkan, demam denggi dapat dikurangkan dan kebakaran hutan dapat dielakkan.

Begitu juga musim hujan April hingga Mei dan September hingga Disember. Jika kita peka dan bersedia, tentulah kesedaran akan timbul bagi mengelakkan banjir kilat, tanah runtuh dan membuat persiapan bagi menghadapi musim kering berikutnya.

Ini semuanya merupakan bencana yang sangat mudah menimpa penduduk Lembah Klang yang memberi imej Malaysia di mata dunia.

Maka, jelaslah kerosakan alam itu berpunca daripada tangan manusia sendiri dan semakin hampir manusia itu mendekatkan diri kepada alam sekitar, semakin selamatlah mereka daripada malapetaka ciptaan mereka sendiri.
- KAJI SENDIRI, Kuala Lumpur.

Forum, Utusan Malaysia, 31 Januari 2005

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm

Tuesday, January 25, 2005

Bukan semua kakitangan awam tidak berdaya saing

Saudara Pengarang,

TIDAK adil rasanya melihat laporan akhbar akhir-akhir ini memperkatakan seolah-olah kakitangan awam tidak menjalankan tugas dengan baik.

Ini memberi tanggapan negatif masyarakat terhadap kakitangan sektor awam dengan memberi gambaran bahawa seluruh kakitangan awam tidak menjalankan tugas dengan sempurna, tidak berkhidmat dengan sepenuh hati dan tidak mesra pelanggan.

Masyarakat harus tahu bahawa bukan semua kakitangan awam tergolong dalam golongan yang tidak dinamik dan berdaya saing berbanding kakitangan swasta.

Ramai golongan muda dalam kakitangan awam yang ingin membawa pembaharuan atau anjakan paradigma tetapi `tergendala' akibat faktor tradisi bekerja kakitangan lama.

Terdapat kerani lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkebolehan membina laman web, diminta oleh jabatan untuk membina dan menyelenggara laman web untuk jabatan tersebut walaupun hanya dibayar gaji asas P1T1 Gred N17 iaitu RM656.30 sebulan kerana baru memulakan khidmat dalam sektor awam.

Namun oleh kerana semangat untuk meningkatkan mutu sektor awam, tugas yang diberi dipikul dengan bangga kerana memikirkan bahawa beribu-ribu ringgit telah dijimatkan oleh jabatan tersebut.

Ada juga kakitangan awam yang sanggup bekerja hingga 11 jam sehari tanpa membuat tuntutan lebih masa kerana menyiapkan invois atau urusan yang berkaitan dengan pembayaran yang perlu dibuat kepada pihak pembekal.

Tetapi yang hanya diketahui oleh masyarakat ialah tentang sebilangan kakitangan awam yang goyang kaki, tidak menghormati pelanggan dan bersikap `lepas tengkuk' dalam berurusan dengan pelanggan.

Sehubungan itu bagi meningkatkan prestasi kakitangan awam, maka ikutlah kaedah pihak swasta yang hanya memberi kenaikan gaji pada kakitangan yang produktif dan memberi imbuhan kepada kakitangan yang sanggup memikul tugas di luar bidang jawatannya. - KERANI SERBAGUNA, Kuala Lumpur.

Forum, Utusan Malaysia, 25 Januari 2005


http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm