Monday, December 12, 2005

Jangan tolak luahan kumpulan sokongan


Saudara Pengarang,

KENYATAAN Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman berhubung mutu perkhidmatan awam ada kebenarannya.

Soalnya, rata-rata yang menjadi libasan media dan masyarakat ialah Kumpulan Sokongan khususnya Pembantu Tadbir. Ini kerana merekalah yang bertugas di kaunter serta bergelumang dengan dokumen.

Malangnya kecekapan mereka ini sangat ditentukan oleh Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam sesebuah jabatan.

Dan ada pula sesetengah jabatan penting tidak mendapat bilangan Kumpulan Sokongan yang mencukupi berbanding kapasiti tugas jabatan tersebut.

Apabila kenyataan umum dibuat mengenai kelemahan perkhidmatan awam, masyarakat akan pantas memandang kepada Kumpulan Sokongan yang menjadi mangsa keadaan. Maka eloklah pendapat yang diluahkan oleh kakitangan Kumpulan Sokongan tidak ditolak mentah-mentah oleh pegawai atasan mereka.

Paling penting, Kumpulan Sokongan hendaklah dipilih berdasarkan pengetahuan mereka dalam ICT. Mereka hendaklah diberi gaji setimpal bagi mengurangkan kebergantungan kepada pergerakan kertas semata-mata di zaman Internet ini.

Sebenarnya, perkhidmatan awam yang melaksanakan ICT sepenuhnya sukar untuk berlaku dalam masa terdekat kerana kurangnya minat kakitangan sokongan yang berumur 45 tahun ke atas untuk mempelajari teknologi.

Lebih pada itu, selagi tidak ada sikap terbuka dan perbincangan berhemah peringkat dalaman, selagi itulah perkhidmatan awam tidak akan lepas dari pihak yang mencari kesalahan kesan daripada `kasta' yang wujud dalam perkhidmatan awam itu sendiri. - BEKAS KERANI SWASTA, Ipoh.

Forum, Utusan Malaysia, 12 Disember 2005

Wednesday, November 30, 2005

Ibu, bapa punca kecelaruan gender

Saudara Pengarang,

KECELARUAN gender di kalangan masyarakat hari ini dikaji berpunca dari institusi kekeluargaan.

Lebih buruk lagi, kegoyahan hubungan pembina rumah tangga telah membentuk emosi anak-anak sehingga mempengaruhi pembinaan seksualiti mereka.

Masyarakat perlu sedar bahawa gejala ini berpunca daripada diri mereka sendiri.

Ada kalanya ramai yang lupa bahawa sikap mereka yang mahu menunjukkan siapa yang lebih mempengaruhi pembesaran anak mereka membentuk emosi dalaman yang menjadi asas peribadi anak-anak mereka.

Kegoyahan institusi rumah tangga yang menyaksikan perceraian contohnya membentuk secara kekal peribadi anak-anak tersebut.

Seorang ibu yang terlalu memanjakan anak lelaki lebih banyak membentuk lelaki yang mempunyai kecelaruan memilih pasangan seks.

Manakala seorang bapa yang menjaga anak perempuan pula nescaya akan mengakibatkan si anak mahu memiliki keupayaan ayahnya.

Hasilnya, bertambahlah bilangan mereka yang mempunyai seksualiti bercelaru dan pertambahan ini akan berlaku dari semasa ke semasa dan lebih parah seandainya ibu bapa masih kurang sedar tentang pengaruh sikap mereka terhadap pembentukan peribadi anak-anak.

Keperibadian anak-anak mestilah dicorakkan dengan didikan daripada kedua-dua ibu bapa yang bersefahaman dan tahu peranan masing-masing. - KAJI SENDIRI, Ipoh, Perak.

Forum, Utusan Malaysia, 30 November 2005

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm

Saturday, August 13, 2005

Kenakan hukuman mati pencetus pembakaran tanah pertanian

Saudara Pengarang,

MASALAH jerebu bagai tiada penyudahnya. Genap lapan tahun selepas jerebu terburuk, kini berlaku lagi jerebu yang lebih buruk.

Kasihan apabila melihat semua lapisan masyarakat tercungap-cungap menapis udara di dalam sistem pernafasan sendiri dan terpaksa membiarkan habuk dan partikel terampai melekat di dalam paru-paru.

Bencana ini menimpa semua tidak kira mereka yang mementingkan kesihatan dan yang mengabaikan kesihatan.

Hampir 10 juta penduduk Pantai Barat Semenanjung hari ini cuba untuk menyesuaikan diri dengan bencana alam hasil tangan manusia ini dan menyesali kegagalan perbincangan pelbagai hala untuk menghalang bencana ini daripada terus berlaku.

Persoalan yang timbul ialah, apakah keberkesanan perbincangan yang selama ini diadakan bagi mengelakkan fenomena seperti ini daripada terus berlaku?

Atau dangkal sangatkah masyarakat hari ini tentang pergerakan angin dan ilmu alam?
Atau apakah ia sengaja dilakukan oleh pihak yang memang sedar bahawa antara Mei dan September, angin bertiup dari arah barat daya atau atas nama sabotaj?

Apabila disiasat secara lebih mendalam, timbul krisis dari segi siapa yang harus dipersalahkan.
Mungkin ramai yang kurang mengetahui bahawa syarikat perladangan Malaysia banyak membuka ladang-ladang kelapa sawit di wilayah Riau dan Jambi.Jadi pokok persoalannya akan membalikkan tudingan jari kepada Malaysia.

Atas sebab inilah, amat perlu penguatkuasaan undang-undang yang lebih keras bagi menghalang tindakan bodoh mereka yang kurang mengetahui hasil daripada perbuatan mereka ini.

Hukuman mati mandatori kepada pencetus pembakaran tanah pertanian yang mengakibatkan jerebu serantau yang dicadangkan di Indonesia seharusnya dilaksanakan dan disokong malah dicontohi oleh Malaysia.

Hanya dengan cara inilah dapat membendung 25 juta penduduk Malaysia, 5 juta penduduk Singapura dan lebih 10 juta penduduk Sumatera daripada menerima kesan jangka panjang akibat bernafas dalam asap tanpa henti selama berminggu-minggu tatkala angin bertiup dari arah barat daya.

Tidak kira siapakah dalang bencana ini sama ada pekebun kecil di Indonesia mahupun pemilik ladang kelapa sawit rakyat Malaysia.

Hukuman berat wajar dikenakan bagi membuka mata masyarakat pertanian bahawa aktiviti pembakaran seperti ini tidak dapat diterima lagi di zaman yang mementingkan kesihatan jangka panjang.

Sebagai rakyat yang lemah dan tidak mampu bersuara, ketegasan pemerintah kedua-dua negara amatlah diharapkan untuk mengelakkan bencana ini daripada terus menjejaskan kesihatan, industri pelancongan dan mengikis mentaliti buruk rakyat rantau ini terhadap alam sekitar. - KAJI SENDIRI, Ampang, Selangor.

Forum, Utusan Malaysia, 13 Ogos 2005

Monday, January 31, 2005

Menjaga alam sekitar boleh elak malapetaka

Saudara Pengarang,

JEREBU yang kini dialami di pantai barat Semenanjung boleh dikatakan luar biasa kerana berlaku ketika angin bertiup dari arah utara dan timur laut.

Semasa jerebu berlaku ketika angin bertiup dari selatan dan barat daya, kita pantas meletakkan punca jerebu tersebut kepada pembakaran hutan di Sumatera.

Kali ini, sudah tentu punca jerebu yang berlaku adalah dari dalam negara kita sendiri akibat pembakaran terbuka ketika musim kering sebegini oleh pihak yang tidak mempunyai sensitiviti terhadap alam sekitar.

Sekiranya setiap individu di negara ini peka dan prihatin terhadap cuaca tahunan, pelbagai perkara dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya menjadi sesuatu yang perlu diambil perhatian demi keselamatan manusia itu sendiri.

Setiap tahun, biasanya tempoh Januari hingga hujung Mac dan Jun hingga September merupakan tempoh kering di Semenanjung. Tempoh ini mengakibatkan empangan surut, nyamuk membiak di parit-parit dan sungai serta belukar dan hutan mudah terbakar.

Jika masyarakat keseluruhannya peka terhadap perkara ini, penggunaan air dapat dijimatkan, demam denggi dapat dikurangkan dan kebakaran hutan dapat dielakkan.

Begitu juga musim hujan April hingga Mei dan September hingga Disember. Jika kita peka dan bersedia, tentulah kesedaran akan timbul bagi mengelakkan banjir kilat, tanah runtuh dan membuat persiapan bagi menghadapi musim kering berikutnya.

Ini semuanya merupakan bencana yang sangat mudah menimpa penduduk Lembah Klang yang memberi imej Malaysia di mata dunia.

Maka, jelaslah kerosakan alam itu berpunca daripada tangan manusia sendiri dan semakin hampir manusia itu mendekatkan diri kepada alam sekitar, semakin selamatlah mereka daripada malapetaka ciptaan mereka sendiri.
- KAJI SENDIRI, Kuala Lumpur.

Forum, Utusan Malaysia, 31 Januari 2005

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm

Tuesday, January 25, 2005

Bukan semua kakitangan awam tidak berdaya saing

Saudara Pengarang,

TIDAK adil rasanya melihat laporan akhbar akhir-akhir ini memperkatakan seolah-olah kakitangan awam tidak menjalankan tugas dengan baik.

Ini memberi tanggapan negatif masyarakat terhadap kakitangan sektor awam dengan memberi gambaran bahawa seluruh kakitangan awam tidak menjalankan tugas dengan sempurna, tidak berkhidmat dengan sepenuh hati dan tidak mesra pelanggan.

Masyarakat harus tahu bahawa bukan semua kakitangan awam tergolong dalam golongan yang tidak dinamik dan berdaya saing berbanding kakitangan swasta.

Ramai golongan muda dalam kakitangan awam yang ingin membawa pembaharuan atau anjakan paradigma tetapi `tergendala' akibat faktor tradisi bekerja kakitangan lama.

Terdapat kerani lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkebolehan membina laman web, diminta oleh jabatan untuk membina dan menyelenggara laman web untuk jabatan tersebut walaupun hanya dibayar gaji asas P1T1 Gred N17 iaitu RM656.30 sebulan kerana baru memulakan khidmat dalam sektor awam.

Namun oleh kerana semangat untuk meningkatkan mutu sektor awam, tugas yang diberi dipikul dengan bangga kerana memikirkan bahawa beribu-ribu ringgit telah dijimatkan oleh jabatan tersebut.

Ada juga kakitangan awam yang sanggup bekerja hingga 11 jam sehari tanpa membuat tuntutan lebih masa kerana menyiapkan invois atau urusan yang berkaitan dengan pembayaran yang perlu dibuat kepada pihak pembekal.

Tetapi yang hanya diketahui oleh masyarakat ialah tentang sebilangan kakitangan awam yang goyang kaki, tidak menghormati pelanggan dan bersikap `lepas tengkuk' dalam berurusan dengan pelanggan.

Sehubungan itu bagi meningkatkan prestasi kakitangan awam, maka ikutlah kaedah pihak swasta yang hanya memberi kenaikan gaji pada kakitangan yang produktif dan memberi imbuhan kepada kakitangan yang sanggup memikul tugas di luar bidang jawatannya. - KERANI SERBAGUNA, Kuala Lumpur.

Forum, Utusan Malaysia, 25 Januari 2005


http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm