Saturday, August 13, 2005

Kenakan hukuman mati pencetus pembakaran tanah pertanian

Saudara Pengarang,

MASALAH jerebu bagai tiada penyudahnya. Genap lapan tahun selepas jerebu terburuk, kini berlaku lagi jerebu yang lebih buruk.

Kasihan apabila melihat semua lapisan masyarakat tercungap-cungap menapis udara di dalam sistem pernafasan sendiri dan terpaksa membiarkan habuk dan partikel terampai melekat di dalam paru-paru.

Bencana ini menimpa semua tidak kira mereka yang mementingkan kesihatan dan yang mengabaikan kesihatan.

Hampir 10 juta penduduk Pantai Barat Semenanjung hari ini cuba untuk menyesuaikan diri dengan bencana alam hasil tangan manusia ini dan menyesali kegagalan perbincangan pelbagai hala untuk menghalang bencana ini daripada terus berlaku.

Persoalan yang timbul ialah, apakah keberkesanan perbincangan yang selama ini diadakan bagi mengelakkan fenomena seperti ini daripada terus berlaku?

Atau dangkal sangatkah masyarakat hari ini tentang pergerakan angin dan ilmu alam?
Atau apakah ia sengaja dilakukan oleh pihak yang memang sedar bahawa antara Mei dan September, angin bertiup dari arah barat daya atau atas nama sabotaj?

Apabila disiasat secara lebih mendalam, timbul krisis dari segi siapa yang harus dipersalahkan.
Mungkin ramai yang kurang mengetahui bahawa syarikat perladangan Malaysia banyak membuka ladang-ladang kelapa sawit di wilayah Riau dan Jambi.Jadi pokok persoalannya akan membalikkan tudingan jari kepada Malaysia.

Atas sebab inilah, amat perlu penguatkuasaan undang-undang yang lebih keras bagi menghalang tindakan bodoh mereka yang kurang mengetahui hasil daripada perbuatan mereka ini.

Hukuman mati mandatori kepada pencetus pembakaran tanah pertanian yang mengakibatkan jerebu serantau yang dicadangkan di Indonesia seharusnya dilaksanakan dan disokong malah dicontohi oleh Malaysia.

Hanya dengan cara inilah dapat membendung 25 juta penduduk Malaysia, 5 juta penduduk Singapura dan lebih 10 juta penduduk Sumatera daripada menerima kesan jangka panjang akibat bernafas dalam asap tanpa henti selama berminggu-minggu tatkala angin bertiup dari arah barat daya.

Tidak kira siapakah dalang bencana ini sama ada pekebun kecil di Indonesia mahupun pemilik ladang kelapa sawit rakyat Malaysia.

Hukuman berat wajar dikenakan bagi membuka mata masyarakat pertanian bahawa aktiviti pembakaran seperti ini tidak dapat diterima lagi di zaman yang mementingkan kesihatan jangka panjang.

Sebagai rakyat yang lemah dan tidak mampu bersuara, ketegasan pemerintah kedua-dua negara amatlah diharapkan untuk mengelakkan bencana ini daripada terus menjejaskan kesihatan, industri pelancongan dan mengikis mentaliti buruk rakyat rantau ini terhadap alam sekitar. - KAJI SENDIRI, Ampang, Selangor.

Forum, Utusan Malaysia, 13 Ogos 2005