Tuesday, December 07, 2004

Rapid KL: `Baju baru' pada bas lama

Saudara Pengarang,

TAHNIAH kepada Rapid KL Sdn. Bhd. kerana berusaha awal dalam usaha untuk merealisasikan integrasi pengangkutan awam di ibu kota.

Dengan bas-bas yang membawa nama Rapid KL menyusuri jalan raya di ibu kota, terserlah betapa transformasi pengangkutan awam khususnya bas bandar sedang berlaku.

Ini mengingatkan kita pada waktu di mana penyeragaman warna bas mini dilakukan suatu masa dahulu yang menambahkan lagi seri ibu kota.

Namun, apa yang menjadi ketempangan ialah, kebanyakan bas yang menjadi salah satu cabang operasi Rapid KL ini hanya diberi `baju baru' untuk menutup kurap dan panau yang kekal mendampingi penumpang.

Setelah menaiki bas-bas tersebut, keindahan jenama baru bas tersebut hilang setelah penumpang kembali ke dalam suasana penuh daki, debu kotor, penghawa dingin uzur dan sesak nafas seperti selalu.

Bas Rapid KL menuju Ampang misalnya, adalah asalnya bas City Liner. Walaupun seri warnanya melambangkan pembaharuan, operasinya masih di takuk lama.

Di hadapan Stesen LRT Ampang, setiap petang selepas waktu pejabat, bas-bas tersebut masih diserbu berpuluh-puluh orang yang telah lali dengan tolak, asak dan siku golongan pendatang Indonesia yang rendah kesedaran sivik.

Itu belum dikira lagi sesetengah mereka yang mengambil kesempatan ketika kesesakan itu dengan menaiki bas melalui pintu belakang tanpa membayar tambang selain sikap pemandu yang jarang memberi tiket kepada penumpang yang membayar tambang dalam zon yang sama terutamanya di kawasan Ampang.

Selain itu juga, adakalanya hingga tiga orang terpaksa berdiri di jejak terbawah tangga bas di kedua-dua pintu melambangkan ketiadaan ruang lagi dalam bas tersebut untuk dipadatkan dengan manusia.

Bas-bas Rapid KL bagi laluan tersebut yang asalnya bas City Liner merupakan hasil dari kerja tergesa-gesa.

Penutup enjin belakang terkulai, pintu renggang, tabung tambang tersangkut-sangkut masih menjadi sebahagian bas-bas `baru' ini.

Untuk mengharapkan bas yang betul-betul baru, rasanya hutang bas-bas sedia ada pun belum langsai.

Adalah diharapkan agar pihak Rapid KL dapat membuat penyelengaraan dalaman bas-bas tersebut. Ketatkanlah mana yang longgar dan rapatkanlah mana yang renggang.

Cucilah bahagian dalam bas tersebut untuk kali pertama dalam tempoh entah berapa tahun.
Selepas segalanya indah, didiklah pemandu agar lebih bertanggungjawab terhadap majikan baru mereka iaitu kerajaan.

Kalau boleh adakan talian khusus untuk penumpang mengadu salah laku pemandu.
Juga perbanyakkan poster yang menyindir `kutu-kutu' yang suka menyerbu bas dan yang suka menaiki bas dengan percuma melalui pintu belakang. - HIMPIT KL, Ampang, Selangor.

Forum, Utusan Malaysia, 7 Disember 2004

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2004&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm