Friday, July 07, 2006

Budi bahasa Barat bukan bandingan

TAJUK UTAMA

Agak meluat apabila membaca pandangan sesetengah pihak yang membandingkan tahap budi bahasa masyarakat Malaysia dengan masyarakat Barat. Ini jelas memperlihatkan betapa nyenyaknya mereka bermimpi hingga terlupa bumi yang nyata.

Apakah pihak yang membuat perbandingan ini terfikir untuk melihat faktor-faktor taraf hidup, tekanan kerja, jurang pendapatan dan keringat berbanding upah yang ditanggung oleh masyarakat Malaysia berbanding negara-negara maju yang dibanding-bandingkan?

Sebelum buat perbandingan, buatlah kajian terlebih dahulu.

Janganlah sampai golongan terpelajar direndah-rendahkan dek pendapat yang pendek akal sebegini. Ini kerana golongan berpendapatan tinggi dan sederhana yang mampu memandu kereta import pun kurang budi bahasa dan cenderung memandang rendah pengguna jalan raya yang tidak setaraf dengan mereka terutamanya penunggang motorsikal. Itu sekadar contoh.

Setiap individu yang makan gaji di Malaysia terdedah untuk bersikap biadap. Ini tidak dapat disanggah terutamanya di bandar-bandar utama. Masalah hidup seperti beban kerja, skala gaji dan tanggungjawab yang tidak seimbang, tanggungan peribadi dan keluarga, kesesakan jalan raya, bahang panas sepanjang tahun yang mempengaruhi psikologi dan perbuatan biadap yang diterima dalam urusan seharian, mendedahkan sesiapa sahaja untuk bersikap sedemikian di Malaysia.

Setiap individu yang terikat dengan permasalahan hidup di bandar yang serba-serbinya mendatangkan tekanan, tidak dapat lari dari menyerlahkan kebiadapan mereka secara sedar ataupun tidak. Terutamanya apabila diperlakukan dengan biadap. Ramai yang teramalkan budaya biadap dibalas biadap. Apa lagi dalam musim panas berbahang apabila suhu maksimum mencapai 40 darjah Celsius dan berupaya untuk menjejaskan pertimbangan pemikiran.

Janganlah terlalu mengagungkan bangsa Barat secara melulu tanpa memahami perbezaan ketara tahap tekanan, pendapatan, sara hidup, kuasa wang dan iklim persekitaran mereka yang secara tidak langsung mempengaruhi rasionalisma mereka dalam membuat tindakan.

Silalah kemukakan contoh negara membangun lain yang mempunyai tahap budi bahasa tinggi untuk dijadikan pengajaran kepada rakyat negara ini yang kononnya kurang budi pekerti. Itupun jika ada. Jika ada sekalipun, mungkin atas dasar melayan tetamu luar.

Cukuplah segala usaha mengambil contoh Britain, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Jepun atau mana-mana negara yang rakyatnya mempunyai kuasa wang dan kemampuan yang tinggi dalam memperoleh kehidupan yang baik dan kediaman untuk berehat yang selesa. Negara-negara maju ini erpeluang untuk berkongsi kemewahan dengan rakyat mereka sebaik mungkin dan ini mempercepatkan minda mereka untuk terhala kepada matlamat pemerintah.

Rakyat minda kelas pertama tidak akan mudah menjadi nyata sekiranya kemiskinan dan kekayaan di bandar akan kekal dalam jurang lebarnya dan menjadikan kedua-dua masyarakat dari golongan ini seperti besi berani berlainan kutub yang tidak akan bersentuhan, apa lagi untuk bercantum sedangkan mereka dekat antara satu sama lain dalam urusan harian. Apakah potensi konflik sebegini wujud di daerah-daerah ekonomi di negara-negara maju?

Seperkara lagi, janganlah melihat, menyindir, menghina kampung halaman sendiri yang bersalir limbah semata-mata diberi peluang untuk hidup di taman-taman perumahan yang lengkap dengan pembentung.
Paling tidak, usahakanlah satu mekanisme yang relevan bagi mengatasi masalah yang dikeji-keji ini.
Jika hanya sekadar kutuk sindir, ia tidak jauh beza dengan penumpang-penumpang LRT Putra yang kelihatan beratur sopan di Masjid Jamek tatkala menunggu ketibaan tren, tetapi berubah menjadi peserta acara rebut ruang kosong bila pintu LRT yang tiba terbuka. Paling lucu, acara ini turut disertai oleh ekspatriat dan warga asing yang bekerja di Malaysia.

Seandainya budaya menghargai dan mengiktiraf kerja, usaha dan kehidupan orang lain tidak ada, apa yang kita harapkan untuk diri kita pada pandangan orang lain?

Yang kukuh di fikiran masyarakat bandar Malaysia ialah, “saya lebih bagus dari dia”, dan “dia tak setaraf saya”, dan inilah yang menjadi sebahagian punca lunturnya budi bahasa rakyat Malaysia yang seterusnya mencorakkan darjah kebiadaban yang sebenarnya kita sendiri ciptakan.– MIMPIKAN REALITI, Ipoh, Perak

Ruangan Forum, Utusan Malaysia, 7 Julai 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Tuesday, June 20, 2006

Pluralisme bukan isu untuk bidas-membidas

PENDAPAT

SAYA terpanggil untuk membicarakan isu pluralisme yang dibangkitkan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mengikut pandangan rakyat kebanyakan.

Pelbagai pihak menghentam beliau kononnya apa yang diutarakan merupakan satu tempelak terhadap kepelbagaian agama dan budaya di Malaysia.

Kebanyakan pihak yang membuat ulasan itu merupakan golongan pemikir yang terpelajar.
Kita harus faham bahawa konsep pluralisme dan liberisme yang diamalkan di Malaysia tidak memberi ancaman terhadap keimanan atau keteguhan pegangan Islam di Malaysia sekiranya keseluruhan rakyat Malaysia beragama Islam merupakan golongan yang pengetahuannya setaraf dengan pemikir-pemikir yang berhujah ini.


Dr. Chandra Muzaffar dalam ulasan beliau yang tersiar dalam Utusan Malaysia kelmarin memberikan contoh-contoh ilmuwan Islam yang terkenal dalam kaji selidik agama-agama lain yang pada pandangan beliau ternyata tidak memberi apa-apa kesan terhadap ketakwaan mereka terhadap agama yang dianuti.

Tetapi, jika kita lihat dari konteks masyarakat Islam hari ini, kita seharusnya sedar bahawa bukanlah setiap rakyat Malaysia yang beragama Islam itu mempunyai pemikiran seperti ilmuwan Islam yang dijadikan contoh-contoh dalam menghentam Mufti Perak.

Betapa ramainya masyarakat Melayu Islam di Malaysia, walaupun didedahkan dengan ilmu-ilmu dari al-Quran, masih tidak mengerti kaitan antara Yahudi, Kristian dan Islam. Selebihnya masih buntu untuk memahami pada zaman manakah lahirnya nabi-nabi yang diutuskan untuk menyebarkan agama tauhid yang wujud hingga ke hari ini.

Ini jelas menunjukkan bahawa pengetahuan wajib yang seharusnya menjadi tanda aras pengetahuan umat Islam di Malaysia sendiri disisihkan oleh faktor yang didorong oleh rasa teruja mereka menongkah masa depan. Maka golongan yang tidak berfikir akan memperselisihkan isu-isu sebegini dalam ruang lingkup mereka dan akhirnya merumuskan pegangan-pegangan yang lebih dangkal.

Jadi, apa yang cuba ditekankan oleh Mufti Perak barangkali bukanlah pluralisme yang difikirkan pada pandangan bijak pandai yang sedia memahami konsep dan batasan. Beliau barangkali banyak memberi gambaran menyeluruh yang meliputi masyarakat umum di mana dewasa ini, telah terhakis nilai-nilai keislaman mereka akibat kurang didikan agama terutamanya dari institusi kekeluargaan sendiri.

Sebagai rakyat kebanyakan, saya berkesempatan untuk bergaul dengan semua lapisan masyarakat dan implikasi liberalisme terhadap golongan ini amat menakutkan. Kurangnya pengetahuan agama, pengetahuan sejarah dan pantasnya teknologi menguasai diri tanpa memberi ruang kepada pengisian rohaniah merupakan proses yang sedang pesat berlaku, malah terus membentuk darjah kemusnahan tersendiri.

Maka tidak menjadi sesuatu yang asing apabila kedangkalan-kedangkalan ini menyebabkan Hari Krismas dirayakan oleh orang Islam dengan konsep memeriahkan sedangkan mereka tidak tahu bahawa ia tidak betul. Berbeza pula dengan Tahun Baru Cina yang dianggap perayaan agama sedangkan unsur-unsur keagamaan merupakan campur aduk masyarakat Buddha dan Taoisme yang turut meraikan perayaan tersebut.

Itu hanyalah sekadar contoh perayaan. Jika dipaparkan contoh gejala sosial, aibnya terlalu signifikan dengan masyarakat Islam di Malaysia.

Perlukah kita melihat apa yang disebutkan oleh Mufti Perak itu dari sudut bijak pandai semata-mata sedangkan kita tidak punyai masyarakat sebegini sebagai keseluruhan organisasi malah wujud jurang keimanan yang terlalu ketara dalam pemahaman Islam masyarakat Melayu di Malaysia.

Kesan dari jurang keimanan ini, ramai yang tidak berkeupayaan untuk melihat ancaman-ancaman ke atas akidah yang sengaja disemai oleh golongan tertentu melalui ejen-ejen tertentu.

Jika bongkah ais yang terapung menggambarkan masyarakat Islam di Malaysia, bahagian yang tenggelam merupakan golongan-golongan masyarakat yang perlu diperbaiki. Namun dalam kes ini, bahagian yang timbul di permukaan seolah-olah menafikan usaha memperbaiki pemikiran majoriti yang menjadi keagungan prinsip demokrasi.


Tiada rosak keimanan sesiapa yang beriman hatta ia menghadiri malah merasmikan pembukaan pusat-pusat ibadat penganut agama lain atas kapasiti yang dipegang oleh seseorang tersebut sekiranya pengertian Islam dan konsep ketakwaan itu unggul dalam pemikirannya.
Namun, apa yang dimaksudkan oleh Harussani mungkin adalah dari konteks sosiologi Melayu Islam di Malaysia secara umum yang terlalu ramai berpakaian iman ikut-ikutan.


Seharusnya kita sedar bahawa sekiranya keimanan yang jati dan diperkukuhkan dengan pengetahuan itu ada pada segenap masyarakat Islam di Malaysia, tiada apa yang perlu dibimbangkan walaupun diadakan perayaan rumah terbuka di gereja-gereja, tokong-tokong mahupun kuil-kuil kerana setiap individu pasti sedar pluralisme yang menjadi hakikat di negara ini tidak mungkin merosak keimanan sesiapa dan secara tidak langsung, pluralisme itu akan membawa maksud tersendiri di negara ini.

Isu ini seharusnya tidak dijadikan medan bidas-membidas, sebaliknya perlulah menjadi laman untuk kita lebih dekat ke jiwa rakyat dan memperhalusi indeks pengetahuan sejarah dan agama di fikiran keseluruhan rakyat Malaysia yang beragama Islam. – SYAMSUL FADZLI MAT, Ipoh, Perak.

Rencana, Pendapat, Utusan Malaysia, 20 Jun 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm

Monday, June 12, 2006

Padah tamak, bakhil terhadap pembangunan

TAJUK UTAMA
Saudara Pengarang,

KEJADIAN tanah runtuh di Hulu Klang, Selangor dan jambatan runtuh di Papar, Sabah baru-baru ini membuktikan faktor ekonomi telah mendorong manusia untuk menafikan hukum alam. Ini tidak dapat tidak meletakkan dua kejadian ini adalah kesilapan manusia pada peringkat perancangan awal, bukannya kehendak alam semata-mata, yang berlaku atas sesuatu yang direncanakan.

Jika dilihat rekod kejadian tanah runtuh di Hulu Klang sejak tragedi Highlands Tower 12 tahun lalu, seharusnya pihak berwajib sedia maklum akan hakikat bahawa tanah di kawasan Hulu Klang adalah berlainan.

Hal ini disebabkan muka bumi kawasan tersebut berbukit-bukit dan mempunyai tanah yang longgar serta mudah menggelongsor akibat dipengaruhi graviti apabila berlaku aliran air bawah tanah luar biasa berikutan taburan hujan yang tinggi bagi sesuatu tempoh tertentu. Perkara ini turut diakui oleh pakar geologi.

Maka sepatutnya, kawasan seperti ini tidak perlu dibangunkan langsung atas sebab-sebab keselamatan dan secara tidak langsung, warisan hijau di kawasan tersebut terpelihara. Namun, kerana nilai hartanah yang cukup tinggi di kawasan tersebut, termasuk tarikan pemandangan kota yang turut menjadi faktor tambah nilai hartanah kawasan tersebut, ia dibangunkan.

Kesannya, rentetan tanah runtuh di Hulu Klang tidak mungkin terhenti selagi hujan menyirami muka bumi Kuala Lumpur yang merupakan kawasan kedua terbasah di pantai barat Semenanjung selepas Taiping. Hanya penyaliran air bawah tanah yang efektif dapat mengurangkan risiko tanah runtuh di Hulu Klang.

Namun, ia tidak mungkin terlaksana dalam masa terdekat akibat faktor ekonomi, kerenah birokrasi serta pembangunan sedia ada.

Begitu juga halnya kejadian jambatan runtuh di Papar, Sabah. Adalah menjadi satu konsep pembinaan yang pelik apabila Sungai Mandahan yang mempunyai kadar aliran yang sedemikian direntasi dengan palung kekotak, bagi pembinaan jalan di atasnya.

Sudah tentulah apabila kadar aliran Sungai Mandahan meningkat ditambah dengan kesan daripada aliran yang berterusan, sebuah teluk yang kecil akan terbentuk di sisi hulu kekotak tersebut lalu menjadikan setiap sambungan kekotak tersebut dengan tanah dasar dan tanah sisi akan dihakis oleh daya yang dikenakan oleh aliran air, dan menunggu masa untuk beralih apabila resapan air di ruang-ruang ini menggagalkan keteguhan kekotak tersebut.
Kos membina kekotak ini memanglah lebih murah daripada pembinaan jambatan bergalang konkrit.

Maka, selagi konsep ini terus digunakan sebagai jambatan pada sebatang sungai yang mempunyai kadar alir yang tinggi, kejadian di Papar terdedah untuk berlaku di mana-mana sahaja di mana konsep pembinaan ‘jambatan’ seperti ini diguna pakai.

Inilah akibat perancangan pembangunan yang terdorong oleh sifat tamak dan bakhil yang tidak dapat tidak, akhirnya membahayakan nyawa penduduk yang seharusnya mendapat manfaat daripada pembangunan.
- SYAMSYUL FADZLI MAT, Ipoh.
Ruangan Forum, Utusan Malaysia, 12 Jun 2006

Monday, May 08, 2006

Pengisian akhbar jawi perlu paparkan kelainan

TAJUK UTAMA

LANGKAH Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pelajaran membiayai penerbitan sisipan Utusan Melayu Mingguan yang dikeluarkan bersama akhbar Utusan Malaysia merupakan satu tindakan wajar.

Namun, usaha dua kementerian ini, mungkin hanya akan memenuhi desakan untuk memelihara warisan orang Melayu semata-mata.

Kenyataan Datuk Seri Dr. Rais Yatim, dalam temu bual bersama Utusan Melayu Mingguan terbitan sulung selepas kelahiran barunya menggambarkan bahawa orang Melayu telah mematikan medium tulisan jawi.

Hakikat ini benar, tetapi jika dilihat pada peranan-peranan yang dimainkan oleh setiap anggota masyarakat Melayu itu sendiri, ia memerlukan penerangan yang sedikit spesifik.

Ini kerana, agenda Melayu merupakan tanggungjawab masyarakat politik dan perlu disampaikan oleh penyebar fikiran ahli politik yakni media. Kebangkitan Utusan Melayu suatu masa dahulu sendiri jelas merupakan tuntutan politik. Desakan politik pada masa itu mendesak orang Melayu untuk celik huruf lantas terpanggil dengan penuh semangat untuk membaca wadah perjuangan bangsa.

Kini, sekiranya orang Melayu kembali berminat untuk membaca Utusan Melayu, ia disebabkan akhbar tersebut membawa kandungan yang mendesak orang Melayu untuk membacanya walaupun terpaksa belajar cara membacanya.

Komitmen Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam membentuk masa depan orang Melayu yang celik jawi juga wajar dipuji. Pengenalan perisian terkini serta kaedah-kaedah pelajaran jawi melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pastinya akan membantu generasi akan datang meninggalkan sebuah generasi yang hampir buta jawi, setelah 50 tahun diberi peluang menjalankan pemerintahan sendiri.

Ia merupakan tuntutan pembetulan dari segi pendidikan kepada orang Melayu generasi depan kerana orang Melayu dahulunya mampu berutusan dalam tulisan jawi sepanjang beratus tahun dijajah.

Lebih sedih lagi, tulisan jawi tidak pernah menerima perintah supaya dilenyapkan, tetapi pupus jua hingga menjadi kebolehan luar biasa sekiranya seseorang itu boleh membaca atau menulis jawi.

Namun, hasilnya kelak boleh juga membawa kepada wujudnya golongan pencinta tulisan jawi semata-mata. Bukan mustahil bagi sebuah teks yang lengkap bertulisan rumi hatta satu jilid sekali pun, dijawikan dengan hanya sekali klik.

Jika ini berlaku, objektif menghidupkan semula tulisan jawi ternyata hanya memenuhi kehendak teknologi semata-mata dan tidak membawa apa-apa kepentingan dan pengertian bagi orang Melayu.

Dalam satu kajian, didapati bahawa ada orang Melayu hari ini mampu membaca al-Quran dengan baik, tetapi tidak tahu membaca tulisan jawi. Ini kerana cara ejaan bagi sebutan ayat-ayat al-Quran yang mengalami perubahan beratus tahun dahulu, membolehkan al-Quran mudah dipelajari semua bangsa di dunia. Ia juga menjadi antara sebab orang Melayu hari ini tidak ambil peduli tentang aspek vokal dan konsonan dalam huruf-huruf jawi yang membolehkan sepatah perkataan dalam tulisan jawi dapat dibaca.

Bolehkah orang Melayu bergantung semula pada tulisan jawi sebagai wadah perjuangan bangsa? Ini boleh berlaku sekiranya roh perjuangan akhbar tersebut dikembalikan. Sekiranya hendak mengatakan tulisan jawi tidak penting lagi kerana orang Melayu sudah tidak perlu untuk berjuang menambah baik bangsa dan agama, iklim ekonomi hari ini menafikannya.

Dalam soal ini, orang Melayu sendiri mengalami kerugian besar kerana meruntuhkan satu-satunya platform untuk berkomunikasi di ruang lingkup bangsa sendiri, seperti kelebihan yang ada pada kaum-kaum utama lain di Malaysia.

Hakikatnya, Utusan Melayu tidak perlu hidup sekiranya isi kandungannya hanya berkisar isu-isu yang dicedok dari akhbar Melayu bertulisan rumi. Ia tidak menyumbang apa-apa pada kepentingan orang Melayu dan golongan celik jawi pun tidak tertarik untuk membacanya.

Menjadi naskhah kerja kosong versi jawi lebih laku dari menjadi wadah bangsa yang tiada fungsi dan hilang kepentingan. Pendek kata, lebih tinggi nilainya sebagai bahan muzium dari menjadi edaran yang tidak laku.

Kesimpulannya, Utusan Melayu bukan dihapuskan oleh sikap orang Melayu daripada golongan pembaca seperti yang didakwa. Utusan Melayu telah membunuh dirinya sendiri dengan menyiarkan kandungan yang langsung tiada tarikan dan hilang kepentingannya terhadap perjuangan bangsa. Untuk itu, wajarlah Utusan Melayu mencari nafas baru sementara peluang untuk diterbitkan masih ada walaupun atas belas ihsan pemerintah. - SYAMSYUL FADZLI MAT, Ipoh, Perak.

Rencana, Pendapat, Utusan Malaysia, Rabu 3 Mei 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm

Tuesday, March 28, 2006

Kit Siang tidak faham isu kakitangan awam


Saudara Pengarang,

KENYATAAN Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat berhubung pengisian penjawat awam yang dikatakan didominasi oleh kaum Melayu menunjukkan sekali lagi sikap beliau yang mahu menjadi jaguh berhubung isu yang beliau sendiri kurang faham.

Elok perkara ini dijelaskan mengikut perspektif kakitangan sokongan yang merupakan majoriti kakitangan awam.

Kit Siang seharusnya memulihkan tahap penguasaan bahasa rasmi negara di kalangan bukan Melayu yang beliau dakwa tidak mendapat tempat di dalam perkhidmatan awam.


Ini kerana, jika dilihat kepada kelayakan akademik bagi kakitangan kumpulan sokongan khususnya kerani, kepujian dalam bahasa Melayu menjadi asas untuk dapat melicinkan jentera pentadbiran sesebuah jabatan kerajaan kerana bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi perkhidmatan awam Malaysia.

Berdasarkan fakta tersebut, Kit Siang wajar melihat sejauh mana tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu di Malaysia hasil daripada pembelajaran berobjektifkan peperiksaan yang selama ini digunapakai.

Jika segolongan pelajar bukan Melayu itu memperoleh keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, sudah tentu mereka ini lebih cemerlang dalam mata pelajaran lain.

Lantaran itu, tidak mungkin mereka akan menduduki kerusi empuk bergaji rendah di dalam perkhidmatan awam andainya mereka mempunyai peluang untuk meneroka alam kerjaya yang lebih baik.

Yang hendak ditekankan ialah apakah baki golongan (yang kurang cemerlang) menguasai bahasa Melayu dengan baik? Apakah nanti seluruh pentadbiran negara akan menggadaikan penggunaan bahasa Melayu hanya untuk memenuhi kerenah sebilangan kecil yang kononnya terpinggir?

Benar, sekiranya keupayaan berbahasa kebangsaan dengan baik ada pada setiap rakyat Malaysia, tidak mustahil permohonan jawatan sokongan di dalam perkhidmatan awam di Malaysia tidak memerlukan syarat kepujian dalam Bahasa Malaysia.

Tetapi itukah realiti Malaysia hari ini? Kita dapat lihat, ketua pembangkang sendiri berbahasa kebangsaan dengan cara yang tunggang-langgang di Dewan Rakyat.

Itu bagi keseluruhan penjawat awam. Sila Kit Siang dedahkan pula pecahan etnik bilangan kakiangan awam peringkat Gred 41 hingga 54 di negara ini yang menjadi tiang dalam perkhidmatan awam. Adakah statistiknya sama?

Kita jangan lupa perangai pembangkang yang membangkitkan isu ketuk-ketampi yang kononnya melibatkan rakyat China dulu.

Akhirnya, pembangkang membisu setelah ternyata yang dikenakan hukuman tersebut adalah orang Melayu.

- KERANI BENGANG,
Ipoh, Perak.

Forum, Utusan Malaysia, 28 Mac 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm