Tuesday, December 11, 2007

Apa itu demokrasi tulen?


Oleh SYAMSYUL FADZLI MAT

APA yang telah terjadi di negara kita sejak kebelakangan ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada pemikiran sebilangan kecil rakyat negara ini yang boleh dianggap sebagai kuman-kuman kecil yang mampu memberi mudarat besar di masa hadapan.

Jika kita lihat di Asia Selatan atau beberapa negara ASEAN yang agak terkebelakang, sebilangan kecil rakyat negara ini bermegah dengan tahap ‘demokrasi tulen’ negara tersebut, kuasa rakyat mereka dan ‘kebebasan bersuara’ mereka.

Di sebalik ungkapan-ungkapan politik yang nampak indah itu, tidak tersorok dari pandangan dunia bahawa negara-negara tersebut merupakan halaman perniagaan yang tidak kompetitif dan kerap dijauhi.

Bermula dengan perhimpunan Bersih pada 10 November 2007, diikuti dengan perhimpunan Hindraf pada 25 November 2007, hinggalah perarakan 50 orang peguam dan aktivis kelmarin, masing-masing ingin menunjukkan bahawa hak mereka untuk berhimpun tidak boleh dinafikan oleh pihak kerajaan.

Tahukah mereka, di sebalik semangat yang tidak bertempat itu, tersemai pada pemikiran anak-anak kecil serta para pelajar di negara ini akan bibit-bibit tidak sihat yang cuba mereka suburkan bagi mewujudkan unjuran yang buruk kepada situasi di negara ini pada masa akan datang.

Memang benar, pada satu ketika ketika negara dijajah, seluruh negara dikejutkan dengan perhimpunan besar-besaran bagi menyemarakkan nasionalisme di kalangan rakyat dalam penentangan ke atas rancangan British untuk mewujudkan Malayan Union.

Tetapi, ia tidak boleh dijadikan perbandingan kerana perhimpunan rakyat negara ini 62 tahun lalu adalah untuk kepentingan rakyat keseluruhannya yang mahu menjadi rakyat sebuah negara yang berdaulat.

Hari ini, perhimpunan diadakan hanya bagi kepentingan parti-parti politik atau pihak-pihak yang bersifat antipemerintah. Lebih buruk, sorakan mereka dibuat di jalanan. Tidak kiralah daripada kalangan yang tidak berpelajaran, golongan terpelajar juga sudah terikut-ikut dengan budaya import ini. Ini benar-benar menyedihkan.

Ini tidak perlu dikaitkan dengan seorang mantan menteri yang semakin dibenci rakyat kerana sikap bermuka-mukanya itu. Yang hendak diperkatakan ialah golongan yang membuntuti beliau dengan cara melulu. Di manakah letaknya kematangan berfikir mereka sebagai rakyat Malaysia?

Mereka tidak mewakili keseluruhan rakyat. Mereka tidak layak untuk berhimpun. Mereka tidak mempunyai hak untuk mengganggu gugat urusan harian dan perniagaan orang lain. Periuk nasi orang lain. Paling penting, mereka tidak mempunyai hak untuk menimbulkan rasa tidak senang kepada majoriti besar rakyat negara ini yang benci dengan tindak-tanduk mereka.

Mereka berbangga dengan negara-negara yang dipenuhi dengan golongan yang memprotes di jalanan dengan alasan bahawa demokrasi tulen terdapat di negara-negara tersebut. Mereka menyorokkan fakta bahawa iklim ekonomi di negara tersebut lesu dan kadar pengangguran adalah tinggi justeru mengheret anak-anak muda untuk menyertai aktiviti protes-memprotes di jalanan.

Di negara ini, setiap individu dibebani tanggungjawab untuk bekerja dan menyara keluarga dan ibu bapa. Ramai yang terbabit dalam urusan perniagaan. Trend berhimpun dan berarak bagi menunjukkan tanda protes yang semakin menjadi-jadi hanya akan melesukan iklim ekonomi di negara ini.


Menular

Anak-anak kecil dan remaja dari zaman perindustrian di negara ini kehairanan melihat tingkah laku sebilangan kecil rakyat negara ini. Mereka kebanyakannya berpendapat bahawa penyakit yang luar biasa kini telah menular ke dalam negara ini.

Jika golongan terpelajar yang berarak di jalanan ini mampu berfikir, mereka seharusnya dapat membuat rumusan bahawa anak-anak Malaysia, tidak sepatutnya disogok dengan ilmu protes jalanan yang kini secara senyap, mereka cuba semaikan.

Sebahagian besar rakyat Malaysia, membenci perbuatan mereka yang cuba mengimport budaya negara mundur masuk ke negara ini atas alasan demokrasi. Jika ini yang mereka mahukan, ketahuilah bahawa mereka telah menghadirkan awan mendung pada masa depan anak-anak mereka di negara ini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dan untuk mempertahankan, mengendalikan dan mewujudkan satu kesinambungan yang stabil juga memerlukan cara yang unik.

Tetapi, sikap sebilangan kecil rakyat negara ini yang terdiri daripada sekolot-kolot manusia hingga setinggi-tinggi pelajaran yang menuntut kebebasan dan hak yang tidak bertempat telah memberi sirna pada keindahan gubahan kepimpinan, corak pemilihan kerajaan dan cara untuk menyatakan suara dan hasrat di negara ini.

Parlimen negara ini seolah tidak diperlukan lagi. Check and balance umpama tidak berguna lagi. Jalan raya dijadikan medan melaung pekikan dan sorakan sehingga mengganggu gugat urusan hidup golongan majoriti senyap di negara ini.

Keamanan dan iklim ekonomi negara ini kerap diidamkan oleh rakyat negara-negara berdemokrasi tulen yang dijadikan contoh oleh pemekik di jalanan ini.

Apa yang dibimbangi nanti ialah apabila tahap kebosanan golongan pro keamanan yang merupakan majoriti besar daripada penduduk negara ini, keluar untuk menentang golongan pro demonstrasi ini dan konfrontasi mungkin akan berlaku antara keduanya sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

Keadaan ini berlaku di negara-negara ‘demokrasi tulen’ yang digambarkan oleh sebilangan kecil golongan pro demonstrasi yang mencintai gas pemedih mata dan bom air ini.

Perlu diingat bahawa kucar-kacir yang berlaku di negara ‘demokrasi tulen’ yang dibanggakan oleh golongan ini tidak lepas dari tangan-tangan tersembunyi yang mengambil peluang untuk mensabotaj ketenteraman dengan pembunuhan dan pengeboman.

Apakah ini yang mereka impikan? Jika benar, mereka tidak layak untuk dikenali sebagai rakyat Malaysia apatah lagi untuk berdemonstrasi dengan menyebut bahawa ia adalah demi masa depan rakyat negara ini.

Ruangan Rencana, Utusan Malaysia, 11 Disember 2007

Wednesday, August 01, 2007

PPP terlalu bermain kenangan silam

SEMANGAT setia kawan Barisan Nasional (BN) memang telah lama dijadikan petunjuk keharmonian parti memerintah di Malaysia dalam memperlihatkan perkongsian kuasa antara kaum adalah bukan sesuatu yang mustahil.

Namun, tindakan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas yang mengugut untuk membawa partinya keluar daripada BN merupakan tindakan yang mengundang reaksi besar.

Beliau yang mendesak agar lebih kerusi diberikan kepada partinya pada pilihan raya umum akan datang, kali ini berkelakuan lebih melampau.

Rundingan rasmi belum dibuat, ugutan terlebih dahulu dihebahkan kepada umum. Sebelum ini, M. Kayveas menyanggah seorang pemimpin senior sebuah parti komponen Barisan Nasional dengan cara yang cukup kurang sopan. Kali ini beliau ingin memperlihatkan keangkuhan kepada pucuk pimpinan BN.

Tidakkah beliau sedar bahawa jika bukan atas nama BN, siapakah yang akan mengundi PPP? Parti apakah ini? Siapa pemimpin-pemimpinnya dalam parti itu? Adakah ia diketahui penyokong-penyokong BN yang lain? Jika kami tidak kenal, bila pula kami hendak jatuh cinta? Yang kami tahu PPP, tiada produktiviti melainkan kontroversi semata-mata.

Berhak

Pada pendapat ramai orang yang berhak untuk mengundi parti pemerintah ini, BN tidak memerlukan pemimpin kacang hantu yang pentingkan diri sendiri dan tidak menghormati rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Jangan kerana sikap jelik ini, BN tewas di setiap kerusi yang diperuntukkan kepada PPP.
Walaupun nama pemimpin terdahulunya gah terpampang di jalan-jalan raya terutamanya di Ipoh, ketahuilah bahawa, rakyatlah yang menentukan kesinambungan parti itu hari ini. Jika diikut logik akal, PPP terlalu bermain dengan kenangan silam yang sepatutnya telah menjadi sejarah di muzium politik hari ini.

Berapa keratkah ahli PPP di Ipoh jika dibandingkan dengan MCA, DAP, Gerakan, UMNO dan MIC? Bukankah BN yang membela PPP selama ini. Terlalu lama masa kecederaan diberikan kepada PPP. Seperti biasa, sekali lagi, PPP lupa.

Apakah signifikasi PPP yang telah beliau berjaya bawakan dalam pentas politik negara ini selain daripada ugutan, tuntutan dan sikap tidak kena cara?

Kedengaran kata-kata bahawa PPP tidak memerlukan Kayveas kerana Kayveas bukanlah mempunyai karisma yang besar.

Kepada Kayveas, kotakanlah kata-kata yang diluahkan. Jika hendak keluar, keluarlah hari ini. Tetapi ketahuilah, perkuburan politik menanti PPP seandainya parti tersebut terjun bersama-sama Kayveas dan labu-labunya.– PENGUNDI MUDA, Ipoh, Perak.

Ruangan Forum, Utusan Malaysia, 31 Julai 2007

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

Wednesday, June 13, 2007

Jangan Hairan SMART Tidak Berkesan

BENARKAH Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang bakal siap sepenuhnya Ogos ini dapat mengelakkan banjir di Kuala Lumpur?

Jawapannya ya sekiranya punca banjir iaitu hujan lebat berlaku di kawasan Ampang dan Hulu Klang. Tetapi bersedialah untuk berhadapan dengan jawapan tidak kerana kebanyakan masalah banjir di Kuala Lumpur berpunca daripada air Sungai Batu yang lebih panjang alirannya hingga berpuluh-puluh kilometer ke utara Kuala Lumpur.

Sejak ratusan tahun, Sungai Batu dan Sungai Gombak lebih memberi ancaman kepada keadaan banjir di Kuala Lumpur berikutan laluan alirannya melalui tanah pamah berair dan berpaya sehinggakan banjir pada tahun 1926 mengambil masa tiga hari untuk surut. Namun hari ini, satu jam sudah memadai untuk banjir tersebut surut. Terima kasih kepada pembangunan.

Namun banjir mendadak ini juga adalah natijah daripada pembangunan. Dengan kawasan perumahan bertambah, tanah tidak lagi telap air.

Pemaju hanya memikirkan bagaimana untuk mengalirkan air longkang keluar dari sempadan kawasan yang mereka majukan. Tanah menjadi sempit untuk diwujudkan takungan. Dan sebagai lembah sempit di antara Bukit Nanas dan Bukit Tunku, Kuala Lumpur tidak dapat lari daripada masalah banjir kilat kerana di situlah empat batang sungai akan bercantum menjadi satu.

Sungai Batu yang pada asalnya disebut Sungai Lumpur, dengan muaranya di Masjid Jamek disebut Kuala Lumpur oleh penjelajah Inggeris merupakan sungai ancaman kepada ibu kota. Malangnya, Terowong SMART yang dibina tidak ada kena mengena dengan sungai ini.

Sungai Gombak dahulunya membekalkan air masuk ke Sungai Batu yang kini dipetakan sebagai sungai yang menerima air masuk dari Sungai Batu, turut menjadi penyumbang kepada banjir di ibu kota pada masa pascaoperasi penuh terowong SMART. Kedua-dua sungai ini tidak terbabit dalam projek mega pengaliran air banjir ini sedangkan dua sungai inilah ancaman utama.

Jika dilihat saiz sungai di muara bersejarah Kuala Lumpur iaitu di Masjid Jamek, umum dapat menilai bahawa Sungai Gombak yang bergabung dengan Sungai Batu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) merupakan cabang terbesar jika dibandingkan dengan cabang Sungai Klang yang menyusur di bawah stesen transit aliran ringan Masjid Jamek.

Ini kerana, jika dilihat laluan kedua-dua sungai paling memberi ancaman ini, dua sungai ini menerima air larian hujan tidak telap yang cukup besar keluasannya iaitu Selayang, Kepong, Jinjang, Gombak, Segambut, Sentul, Setapak dan Melawati hingga ke Jalan Ipoh dan Chow Kit berbanding gabungan Sungai Klang dan Sungai Ampang.

Namun, pada masa depan, seandainya terowong SMART berfungsi, limpahannya ke Sungai Kerayong yang akan bertemu dengan Sungai Klang mungkin akan memberi ancaman baru di Pantai Dalam selain aliran Sungai Kerayong yang terganggu akibat efluen gergasi buatan manusia ini mungkin memberi ancaman kepada kejiranan di Pandan Indah, Maluri dan Sungai Besi.

Pun begitu, nasib tidak mungkin berubah bagi penduduk hilir Sungai Klang seperti di Shah Alam kerana Sungai Klang tetap melalui selatan bandar raya itu dengan kadar alir bencana yang sama seandainya hujan lebat luar biasa berlaku di Kuala Lumpur dan lebih buruk lagi jika hujan lebat itu berlaku di Petaling Jaya yang memberi nyawa kepada Sungai Damansara untuk mengganas.

Jadi, janganlah sesiapa dengan terpinga-pinga bergosip dalam kehairanan bagaimanakah terowong SMART masih belum dapat mengatasi banjir di ibu kota pada masa depan selagi langkah yang sama tidak dibuat untuk Sungai Batu dan Sungai Gombak yang menadah lebih banyak air.

Untuk penyelesaian jangka panjang, Sungai Batu perlu diwujudkan alternatif masuk ke Sungai Buloh manakala Sungai Kerayong perlu diterowongkan ke Sungai Langat dan yang paling penting Sungai Klang yang melengkung di Puchong perlu direntaskan memasuki Sungai Langat di Dengkil-Banting-Kuala Langat bagi memastikan bandar raya Shah Alam selamat daripada ancaman banjir.

Seperti halnya dengan pengangkutan awam yang lebih cekap dengan cara mengintegrasikan satu sama lain, begitu jugalah dengan mobiliti air banjir yang memusnahkan harta benda dan jiwa ini. – SYAMSYUL FADZLI MAT, Ampang, Selangor.

Ruangan Forum, Utusan Malaysia, 13 Jun 2007

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Tuesday, June 05, 2007

Masukkan taufan dalam kalendar bencana negara

WALAUPUN Malaysia boleh dikategorikan sebagai kawasan yang agak terlindung daripada laluan taufan, kebarangkalian Sabah dan Sarawak dilanda taufan yang terbentuk di Pasifik Barat tetap ada.

Negeri-negeri pantai timur Semenanjung kecuali Johor juga terdedah kepada siklon tropika yang terbentuk di kawasan Laut China Selatan, walaupun kebarangkaliannya rendah.

Fenomena ini tidak berlaku di luar tempoh awal Disember hingga awal Januari kerana pada waktu inilah taufan-taufan yang terbentuk di Pasifik Barat yang biasanya bergerak ke arah barat dan barat laut, dikesan melencong ke arah barat daya. Antaranya ribut Greg yang membadai Pantai Barat Sabah pada 26 Disember 1996.

Jika ribut Greg yang dikategorikan sebagai ribut tropika pun boleh mengundang kecelakaan yang besar, apa lagi jika taufan-taufan yang terbentuk pada penghujung Disember melencong ke arah barat daya yakni Malaysia seandainya berlaku ketidakstabilan dalam pertembungan udara panas dan sejuk di Laut China Selatan.

Tidak kurang 10 ribut tropika dan dua taufan pernah menerjah perairan Malaysia sepanjang tempoh 60 tahun yang lalu.

Siklon tropika yang membadai Johor pada 2001, Sabah (1996) dan Kelantan (1972 dan 1965) sudah cukup untuk memusnahkan harta benda kerana berlaku banjir besar disebabkan hujan lebat dan peningkatan paras laut.

Walaupun jumlahnya kurang 5 peratus daripada keseluruhan ribut tropika dan taufan yang terbentuk di Pasifik Barat sepanjang tempoh tersebut, fenomena ini perlu dijadikan sebahagian ancaman yang disenaraikan dalam kalendar bencana negara walaupun kebarangkalian berlaku bencana ini adalah kecil.

Ribut Greg wajar menjadi pengajaran. Jumlah nyawa yang dalam bencana itu melebihi korban beberapa siri musim tengkujuh walaupun ia hanyalah sekadar siklon tropika – PENCERAP BEBAS, Kuala Lumpur.

Ruangan Forum, Utusan Malaysia, 12 Disember 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm

Berubah demi survival bangsa

RENCANA

Berubah demi survival bangsa

Oleh S. FADZLI MAT

SERUAN untuk mempertingkatkan ekonomi kaum Melayu telah mula didengari sejak tragedi 13 Mei 1969. Seiring dengan hampir 40 tahun usaha memperkasakan ekonomi orang Melayu dilaksanakan, iklim perdagangan dunia telah berkembang ke tahap yang tidak mungkin terfikir oleh arkitek ekonomi negara terdahulu.

Hari ini, ekonomi orang Melayu semakin mengecil apabila petunjuk ekonomi negara diperhitungkan dari sudut sistem ekonomi terbuka. Usaha kerajaan untuk membantu orang Melayu yang ketinggalan ekonominya dibuat dengan penuh ketelusan dan sentiasa dihebahkan secara umum. Kesannya, hujah berhubung prinsip kesamarataan mula kedengaran dan penyakit ini menular di fikiran masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Ramai pemimpin politik Melayu mempunyai cita-cita untuk menjaguhi isu berhubung ekonomi Melayu. Tetapi benarkah mereka benar-benar berhati ultra-Melayu? Benarkah mereka mengutamakan bangsa sendiri dalam segala segi? Atau berkekalankah bara semangat mereka itu ?

Pemimpin Melayu harus mempunyai jiwa untuk merancang kaedah motivasi dan kesedaran dengan pendekatan yang berbeza-beza mengikut lapisan umur yang diperincikan. Survival bangsa serta hala tujunya perlu diserapkan kepada orang Melayu supaya tersemat di fikiran mereka bahawa memperoleh kejayaan diri merupakan peraturan untuk terus hidup.

Namun, amat malang apabila di sebalik laungan memperkasakan bangsa, sikap dan mentaliti kebanyakan orang Melayu tetap sama.

Industri tekstil, elektronik, pembinaan, pertukangan, makanan mentah dan pengangkutan swasta semuanya ditawarkan dengan nilai yang serendah mungkin oleh kaum bukan Melayu.

Akibat sikap mengambil jalan yang memuaskan hati, mudah, murah dan ketiadaan sifat cauvinistik, orang Melayu menyumbangkan lebih tiga perempat kuasa perbelanjaan mereka kepada kaum bukan Melayu.

Dasar-dasar membantu orang Melayu yang dicetuskan terdedah kepada jalan kegagalan apabila semangat ultra-Melayu itu sendiri pudar atau langsung tidak ada. Bukankah sikap cauvinistik telah meletakkan ekonomi kaum Cina ke tahap yang dapat dibanggakan?

Ekonomi bangsa Melayu mampu untuk meningkat secara drastik hanya apabila berlaku revolusi minda besar-besaran yang belum pernah terjadi dalam peradaban Melayu. Revolusi yang menuntut kesedaran mutlak orang Melayu amat penting demi survivalnya.

Revolusi ini tidak memungkinkan ketidakstabilan kaum kerana ia merupakan urusan orang Melayu semata-mata dan garapan daripada kaedah yang diguna pakai oleh kaum bukan Melayu yang telah maju ekonominya.

Pemikiran dan sikap mengutamakan bangsa sendiri dalam urusan yang melibatkan ekonomi perlu ada dari sekecil perdagangan dan sebesar-besar urusan demi survival bangsa.

Memang pedih untuk berhadapan dengan hakikat yang dihadapi orang Melayu hari ini apabila toleransi tahap tertinggi dalam peradaban dunia telah dibalas dengan pandangan sinis dan sanggahan nakal yang menguji kesabaran.

Di saat yang agak genting inilah tibanya masa bagi orang Melayu membersihkan lumpur yang terpalit dan mula berubah untuk membentuk kekuatan ekonomi yang drastik.

Rencana , Utusan Malaysia, 23 November 2006


http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm