Tuesday, December 09, 2008

Mampukah kita berubah? - Surat 3

SETIAP kali berlaku runtuhan tanah yang memakan korban nyawa dan harta benda, akan riuh segenap lapisan masyarakat membuat spekulasi berhubung punca, akibat dan langkah-langkah seterusnya yang akan diambil. Hakikatnya semua orang tahu, perlaksanaan garis panduan pembangunan di cerun bukit tidak pernah mencapai objektifnya.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa baru-baru ini merupakan kejadian yang agak berlainan. Ini kerana, pada kejadian biasa, tanah cerun yang menggelungsur menimbun di lapisan tanah keras yang mendatar dan menimpa serta memusnahkan kediaman di lapisan atas.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, tebing yang kegagalan menggelungsur dan terperosok ke bawah lapisan atas permukaan tanah. Rumah telah beralih, terjungkit dan pemampatan lapisan atas memusnahkan rumah-rumah kediaman di atasnya. Api terpercik akibat pergeselan tetulang konkrit struktur rumah, dinding rebak dan pecah serta pokok-pokok tumbang satu demi satu apabila rumah-rumah tersebut mula bergerak. Rumput di halaman naik separas bumbung. Mujur apabila berlaku keadaan seperti ini, ramai yang mampu menyelamatkan diri.

Ini mungkin disebabkan tanah di bawah kawasan kediaman tersebut adalah lembut dan tepu kerana menjadi laluan air ataupun tanah tersebut telahpun menakung air sehingga membolehkan runtuhan rebak hingga terbenam ke bawah lapisan permukaan tempat kediaman dibina.

Lapisan batuan mungkin tidak selari dengan paras tanah permukaan akibat kerja-kerja meratakan tanah semasa penempatan hendak dibina.

Keadaan ini membolehkan aliran air bawah tanah untuk melalui bawah penempatan Taman Bukit Mewah menuju ke kawasan yang lebih rendah dimana terletaknya alur semulajadi yang telah tiada. Akibatnya, pergerakan bumi berlaku apabila tiba masa matangnya.

Puncanya jelas disebabkan oleh aliran air bawah tanah yang turun dengan tidak melalui alur semulajadi yang telah diubah dan digantikan dengan longkang-longkang monsun yang bukan berada pada kedudukan asal alur semulajadi tersebut. Akibatnya satu aliran bawah tanah terbentuk mengikut laluan asalnya mengikut pembentukan asal lembah tersebut yang dibina di dasarnya oleh lapisan batuan yang keras.

Lapisan permukaan tanah memang boleh dibentuk oleh jentera dengan proses korek atau tambak. Tetapi lapisan permukaan batuan keras yang menjadi asas kepada lapisan atas ini tetap berada dalam keadaan asalnya.

Apabila tanah dalam keadaan tepu, ia mampu bergerak mengikut tarikan graviti apabila ia melepaskan tenaga pergerakan yang terpendam. Ia boleh berpunca daripada aliran air hujan atau kebocoran paip air, longkang dan sistem pembentungan dalam jangkamasa yang agak panjang.

Dengan kata lain, kejadian yang menimpa 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah sebenarnya menunjukkan ia merupakan satu fenomena buatan yang menunggu masa untuk berlaku pada bila-bila masa di bahagian lain dalam kawasan tersebut.

Tetapi untuk mengatakan pembangunan menjadi punca tanah runtuh mungkin belum cukup tepat kerana terdapat juga tanah runtuh besar-besaran yang berlaku di kawasan bukit-bukau hutan dara yang jarang mendapat perhatian kerana tidak membabitkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Apa yang perlu disebut ialah proses pembentukan muka bumi tidak pernah berhenti dan tanah runtuh sebegini merupakan sebahagian daripada prosesnya sejak jutaan tahun lampau. Cuma kita seharusnya bijak memilih tempat manakah yang sesuai untuk didiami.

SYAMSYUL FADZLI MAT
Ampang, Selangor


Ruangan Forum, Utusan Malaysia, 9 Disember 2008

Thursday, November 13, 2008

Asimilasi dahulu sebelum minta jawatan PM

Kemenangan Barack Obama dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) menjadi inspirasi kepada bukan Melayu di Malaysia untuk menjawat jawatan Perdana Menteri. Kata mereka, batas warna kulit kini sudah tidak ada. Batas perkauman bukanlah sesuatu yang perlu menjadi penghalang kepada pemilihan Perdana Menteri di negara ini.

Tetapi mereka butakan mata kepada kenyataan bahawa pemilihan Obama berlaku setelah beliau berusaha keras menolak pendapat yang mengaitkannya dengan Islam. Obama semahu-mahunya menyebut bahawa dia dilahir dan dibesarkan sebagai seorang Kristian.

Pun begitu, dalam forum-forum Internet berpangkalan di AS, beribu-ribu pembenci Obama tetap mengaitkannya dengan Islam. Dia tetap dianggap sebagai seorang yang perlu ditakuti hanya kerana bapanya seorang Muslim Kenya.

Mengapakah bukan Melayu di negara ini yang inginkan jawatan Perdana Menteri Malaysia ini membutakan mata pada fakta bahawa, walaupun keterbukaan yang dicanangkan, kecenderungan untuk memihak kepada kumpulan majoriti tetap berlaku.

Jangan mengambil contoh kemenangan Obama sebagai penghapus batas perkauman di AS sekiranya batas keagamaan tetap menjadi penghalang pemilihan pemimpin.

Dalam UMNO, terdapat jika tidak beratus, mungkin berpuluh-puluh Cina Muslim yang menjadi ahli yang kompeten dan aktif berpolitik. Mereka dengan bangga telah terasimilasi sebagai umat Melayu.

Ini sesuai dengan definisi Melayu mengikut Perlembagaan ialah seorang yang beragama Islam dan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan harian.

Tetapi itu tidak membuatkan mereka hilang kecinaan. Mereka masih bebas menguasai dan bertutur bahasa ibunda mereka

Malaysia boleh memiliki Perdana Menteri berbangsa Cina. Dan UMNO tidak ketandusan ahli politik berketurunan Cina yang beragama Islam yang mampu memanjat tangga politik di negara ini untuk menjadi Perdana Menteri.

Para pemimpin MCA, DAP, Gerakan dan PKR yang berbangsa Cina dan bukan beragama Islam seharusnya berhenti bermimpi dan ambil iktibar daripada pilihan raya Presiden AS yang penuh onak dan duri akibat isu agama.

Keengganan bukan Melayu untuk berasimilasi satu ketika dulu meletakkan mereka sebagai pihak yang hari ini belum layak untuk menjadi pengemudi bahtera politik negara ini. Soal agama tidak payah diceritakan kerana jelas, rata-rata mereka dipengaruhi Islamofobia hingga takutkan istilah 'negara Islam' untuk dipakai di negara ini.

Jika dahulu konsep 'Satu Bangsa, Satu Negara, Satu Bahasa' diamalkan mungkin telah lama bangsa yang asalnya 'bukan Melayu' ini menjawat jawatan Perdana Menteri. Tetapi harus diingat, kekangan akibat perbezaan agama tetap ada seperti mana berlaku di AS.

Siapa yang sedar bahawa Thaksin Sinawatra atau nama Cinanya, Khoo Tat Seng sebenarnya berketurunan Cina Hakka dari Meizhou, Guangdong yang moyangnya tiba di Siam pada tahun 1860-an. Beliau telah berjaya terasimilasi ke dalam bangsa Siam. Namun, setelah menjawat jawatan Perdana Menteri Thailand, apakah kebaikan yang dibawa olehnya ke atas bangsa Siam.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong membuat kenyataan bahawa negara itu mungkin boleh dipimpin oleh Perdana Menteri dari kaum Melayu-Islam.

Tetapi pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa sentimen majoriti menguasai segala-galanya dan kemungkinan untuk melihat perkara tersebut berlaku bukanlah dalam masa terdekat. Gula-gula retorik ini enak dipandang tetapi tak mungkin dapat dipegang.

Di AS, Obama mendapat 52 peratus daripada keseluruhan undi. Sekiranya keseluruhan penduduk Afrika Amerika, Hispanik dan Asia memberikan undi kepadanya, jelas bahawa 74 peratus daripada pengundi Caucasian enggan mengundi Obama.

Sepatutnya mereka yang membawa idea masanya telah tiba untuk jawatan Perdana Menteri disandang oleh kaum bukan Melayu, haruslah membuat kenyataan berdasarkan kajian menyeluruh bagi mengelakkan pendapat mereka dilabel sebagai idea bertaraf 'yang membahayakan kesihatan' semata-mata.

SYAMSYUL FADZLI MAT
Kuala Lumpur


Ruangan Pendapat, Utusan Malaysia, 11 November 2008

Klik di sini untuk rujukan arkib Utusan Malaysia

Friday, September 12, 2008

Urus SMART dengan bijak

Bayangkan Terowong SMART yang menelan belanja beribu juta ringgit itu telah ditutup sebanyak 44 kali sepanjang 17 bulan ia beroperasi bagi mengalirkan aliran limpahan Sungai Klang yang mampu menenggelamkan pusat bandar Kuala Lumpur.

Bayangkan pula seandainya ia tidak ditutup langsung sepanjang tempoh itu bagi aliran air, Kuala Lumpur akan ditenggelami air sebanyak 44 kali dalam tempoh 17 bulan. Adakah ini masuk akal?

Untuk rekod, secara purata pusat bandar raya Kuala Lumpur secara minimumnya hanya diancam banjir tiga kali dalam tempoh 24 bulan sebelum Terowong SMART beroperasi. Penyaluran air sebanyak 44 kali sepanjang 17 bulan menunjukkan seolah-olah Kuala Lumpur diancam banjir sebanyak 2.6 kali sebulan sepanjang tempoh Terowong SMART beroperasi.

Adakah kadar hujan bertambah setelah Terowong SMART siap sepenuhnya? Ternyatalah fenomena ini tidak masuk akal.

Penutupan Terowong SMART yang telah mengganggu kelebaran aliran trafik Jalan Tun Razak terbukti mengakibatkan lumpuhnya sistem lalu lintas Kuala Lumpur terutamanya pada hari-hari bekerja. Beribu-ribu kenderaan terperangkap dan berjuta-juta liter petrol dan diesel dibazirkan akibat kesesakan lalu lintas yang berada dalam keadaan pegun dan statik.

Apakah wujudnya Terowong SMART terlalu mendahului masa apabila pihak Jabatan Pengairan & Saliran sendiri tiada mekanisme moden bagi meramalkan kadar hujan yang sepatutnya bagi membolehkan terowong ini betul-betul dalam keadaan perlu digunakan untuk menyalirkan air banjir?

Secara logiknya, hujan lebat selama dua jam tidak mampu membanjirkan Kuala Lumpur namun, pihak SMART menutup terowongnya sebagai langkah berjaga-jaga. Untuk rekod, banjir di Kuala Lumpur berlaku hanya apabila hujan lebat mencapai empat jam secara menyeluruh di sebelah utara dan timur Lembah Klang.

Terowong SMART kononnya hanya memerlukan beberapa minit untuk dikosongkan daripada lalu lintas dan digantikan dengan pengaliran air banjir. Tetapi mengapakah ia ditutup satu hingga dua jam sebelum air banjir dialirkan?

Sebenarnya, Terowong SMART tidak boleh dijadikan bahan mainan operator Jabatan Pengaliran dan Saliran dalam keterujaan mereka untuk memandu air banjir sewenang-wenangnya. Satu mekanisme khusus perlu diperhalusi agar terowong ini hanya digunakan apabila ia benar-benar perlu dan satu pusat pengumpulan data paras air sungai seluruh Kuala Lumpur perlu diwujudkan bagi merumuskan satu paras khusus yang jitu bagi menunjukkan amaran bahawa Terowong SMART benar-benar perlu beroperasi bagi menyalirkan air banjir.

Ini adalah penting kerana kejadian banjir di Kuala Lumpur adalah gandingan limpahan air Sungai Gombak dan Sungai Batu dan bukannya Sungai Klang semata-mata.

Hujan lebat di Ampang dan hujan gerimis di Selayang tidak memungkinkan banjir di Kuala Lumpur seandainya kadar aliran Sungai Klang yang tinggi mudah untuk bertemu dengan Sungai Gombak yang hanya mencatat sedikit peningkatan.

Sekiranya ini diambil kira, tidak mungkin kita akan dimomokkan bahawa Kuala Lumpur akan banjir 44 kali dalam masa 17 bulan seandainya Terowong SMART tidak bertukar fungsi. Sudah tentu juga akan berkurangan kata-kata maki warga kota yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang tidak pernah terbayang oleh mereka sebelum wujudnya terowong ini.

Siapakah yang malu sekiranya ada pihak yang menuduh fasiliti kelas pertama ini ditadbir dengan mentaliti kelas ketiga?

SYAMSYUL FADZLI MAT
Ampang, Selangor

Ruangan Forum, Utusan Malaysia, 12 September 2008

Klik untuk arkib Utusan Malaysia mengenai artikel ini