Monday, May 08, 2006

Pengisian akhbar jawi perlu paparkan kelainan

TAJUK UTAMA

LANGKAH Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pelajaran membiayai penerbitan sisipan Utusan Melayu Mingguan yang dikeluarkan bersama akhbar Utusan Malaysia merupakan satu tindakan wajar.

Namun, usaha dua kementerian ini, mungkin hanya akan memenuhi desakan untuk memelihara warisan orang Melayu semata-mata.

Kenyataan Datuk Seri Dr. Rais Yatim, dalam temu bual bersama Utusan Melayu Mingguan terbitan sulung selepas kelahiran barunya menggambarkan bahawa orang Melayu telah mematikan medium tulisan jawi.

Hakikat ini benar, tetapi jika dilihat pada peranan-peranan yang dimainkan oleh setiap anggota masyarakat Melayu itu sendiri, ia memerlukan penerangan yang sedikit spesifik.

Ini kerana, agenda Melayu merupakan tanggungjawab masyarakat politik dan perlu disampaikan oleh penyebar fikiran ahli politik yakni media. Kebangkitan Utusan Melayu suatu masa dahulu sendiri jelas merupakan tuntutan politik. Desakan politik pada masa itu mendesak orang Melayu untuk celik huruf lantas terpanggil dengan penuh semangat untuk membaca wadah perjuangan bangsa.

Kini, sekiranya orang Melayu kembali berminat untuk membaca Utusan Melayu, ia disebabkan akhbar tersebut membawa kandungan yang mendesak orang Melayu untuk membacanya walaupun terpaksa belajar cara membacanya.

Komitmen Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam membentuk masa depan orang Melayu yang celik jawi juga wajar dipuji. Pengenalan perisian terkini serta kaedah-kaedah pelajaran jawi melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pastinya akan membantu generasi akan datang meninggalkan sebuah generasi yang hampir buta jawi, setelah 50 tahun diberi peluang menjalankan pemerintahan sendiri.

Ia merupakan tuntutan pembetulan dari segi pendidikan kepada orang Melayu generasi depan kerana orang Melayu dahulunya mampu berutusan dalam tulisan jawi sepanjang beratus tahun dijajah.

Lebih sedih lagi, tulisan jawi tidak pernah menerima perintah supaya dilenyapkan, tetapi pupus jua hingga menjadi kebolehan luar biasa sekiranya seseorang itu boleh membaca atau menulis jawi.

Namun, hasilnya kelak boleh juga membawa kepada wujudnya golongan pencinta tulisan jawi semata-mata. Bukan mustahil bagi sebuah teks yang lengkap bertulisan rumi hatta satu jilid sekali pun, dijawikan dengan hanya sekali klik.

Jika ini berlaku, objektif menghidupkan semula tulisan jawi ternyata hanya memenuhi kehendak teknologi semata-mata dan tidak membawa apa-apa kepentingan dan pengertian bagi orang Melayu.

Dalam satu kajian, didapati bahawa ada orang Melayu hari ini mampu membaca al-Quran dengan baik, tetapi tidak tahu membaca tulisan jawi. Ini kerana cara ejaan bagi sebutan ayat-ayat al-Quran yang mengalami perubahan beratus tahun dahulu, membolehkan al-Quran mudah dipelajari semua bangsa di dunia. Ia juga menjadi antara sebab orang Melayu hari ini tidak ambil peduli tentang aspek vokal dan konsonan dalam huruf-huruf jawi yang membolehkan sepatah perkataan dalam tulisan jawi dapat dibaca.

Bolehkah orang Melayu bergantung semula pada tulisan jawi sebagai wadah perjuangan bangsa? Ini boleh berlaku sekiranya roh perjuangan akhbar tersebut dikembalikan. Sekiranya hendak mengatakan tulisan jawi tidak penting lagi kerana orang Melayu sudah tidak perlu untuk berjuang menambah baik bangsa dan agama, iklim ekonomi hari ini menafikannya.

Dalam soal ini, orang Melayu sendiri mengalami kerugian besar kerana meruntuhkan satu-satunya platform untuk berkomunikasi di ruang lingkup bangsa sendiri, seperti kelebihan yang ada pada kaum-kaum utama lain di Malaysia.

Hakikatnya, Utusan Melayu tidak perlu hidup sekiranya isi kandungannya hanya berkisar isu-isu yang dicedok dari akhbar Melayu bertulisan rumi. Ia tidak menyumbang apa-apa pada kepentingan orang Melayu dan golongan celik jawi pun tidak tertarik untuk membacanya.

Menjadi naskhah kerja kosong versi jawi lebih laku dari menjadi wadah bangsa yang tiada fungsi dan hilang kepentingan. Pendek kata, lebih tinggi nilainya sebagai bahan muzium dari menjadi edaran yang tidak laku.

Kesimpulannya, Utusan Melayu bukan dihapuskan oleh sikap orang Melayu daripada golongan pembaca seperti yang didakwa. Utusan Melayu telah membunuh dirinya sendiri dengan menyiarkan kandungan yang langsung tiada tarikan dan hilang kepentingannya terhadap perjuangan bangsa. Untuk itu, wajarlah Utusan Melayu mencari nafas baru sementara peluang untuk diterbitkan masih ada walaupun atas belas ihsan pemerintah. - SYAMSYUL FADZLI MAT, Ipoh, Perak.

Rencana, Pendapat, Utusan Malaysia, Rabu 3 Mei 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm