Friday, July 07, 2006

Budi bahasa Barat bukan bandingan

TAJUK UTAMA

Agak meluat apabila membaca pandangan sesetengah pihak yang membandingkan tahap budi bahasa masyarakat Malaysia dengan masyarakat Barat. Ini jelas memperlihatkan betapa nyenyaknya mereka bermimpi hingga terlupa bumi yang nyata.

Apakah pihak yang membuat perbandingan ini terfikir untuk melihat faktor-faktor taraf hidup, tekanan kerja, jurang pendapatan dan keringat berbanding upah yang ditanggung oleh masyarakat Malaysia berbanding negara-negara maju yang dibanding-bandingkan?

Sebelum buat perbandingan, buatlah kajian terlebih dahulu.

Janganlah sampai golongan terpelajar direndah-rendahkan dek pendapat yang pendek akal sebegini. Ini kerana golongan berpendapatan tinggi dan sederhana yang mampu memandu kereta import pun kurang budi bahasa dan cenderung memandang rendah pengguna jalan raya yang tidak setaraf dengan mereka terutamanya penunggang motorsikal. Itu sekadar contoh.

Setiap individu yang makan gaji di Malaysia terdedah untuk bersikap biadap. Ini tidak dapat disanggah terutamanya di bandar-bandar utama. Masalah hidup seperti beban kerja, skala gaji dan tanggungjawab yang tidak seimbang, tanggungan peribadi dan keluarga, kesesakan jalan raya, bahang panas sepanjang tahun yang mempengaruhi psikologi dan perbuatan biadap yang diterima dalam urusan seharian, mendedahkan sesiapa sahaja untuk bersikap sedemikian di Malaysia.

Setiap individu yang terikat dengan permasalahan hidup di bandar yang serba-serbinya mendatangkan tekanan, tidak dapat lari dari menyerlahkan kebiadapan mereka secara sedar ataupun tidak. Terutamanya apabila diperlakukan dengan biadap. Ramai yang teramalkan budaya biadap dibalas biadap. Apa lagi dalam musim panas berbahang apabila suhu maksimum mencapai 40 darjah Celsius dan berupaya untuk menjejaskan pertimbangan pemikiran.

Janganlah terlalu mengagungkan bangsa Barat secara melulu tanpa memahami perbezaan ketara tahap tekanan, pendapatan, sara hidup, kuasa wang dan iklim persekitaran mereka yang secara tidak langsung mempengaruhi rasionalisma mereka dalam membuat tindakan.

Silalah kemukakan contoh negara membangun lain yang mempunyai tahap budi bahasa tinggi untuk dijadikan pengajaran kepada rakyat negara ini yang kononnya kurang budi pekerti. Itupun jika ada. Jika ada sekalipun, mungkin atas dasar melayan tetamu luar.

Cukuplah segala usaha mengambil contoh Britain, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Jepun atau mana-mana negara yang rakyatnya mempunyai kuasa wang dan kemampuan yang tinggi dalam memperoleh kehidupan yang baik dan kediaman untuk berehat yang selesa. Negara-negara maju ini erpeluang untuk berkongsi kemewahan dengan rakyat mereka sebaik mungkin dan ini mempercepatkan minda mereka untuk terhala kepada matlamat pemerintah.

Rakyat minda kelas pertama tidak akan mudah menjadi nyata sekiranya kemiskinan dan kekayaan di bandar akan kekal dalam jurang lebarnya dan menjadikan kedua-dua masyarakat dari golongan ini seperti besi berani berlainan kutub yang tidak akan bersentuhan, apa lagi untuk bercantum sedangkan mereka dekat antara satu sama lain dalam urusan harian. Apakah potensi konflik sebegini wujud di daerah-daerah ekonomi di negara-negara maju?

Seperkara lagi, janganlah melihat, menyindir, menghina kampung halaman sendiri yang bersalir limbah semata-mata diberi peluang untuk hidup di taman-taman perumahan yang lengkap dengan pembentung.
Paling tidak, usahakanlah satu mekanisme yang relevan bagi mengatasi masalah yang dikeji-keji ini.
Jika hanya sekadar kutuk sindir, ia tidak jauh beza dengan penumpang-penumpang LRT Putra yang kelihatan beratur sopan di Masjid Jamek tatkala menunggu ketibaan tren, tetapi berubah menjadi peserta acara rebut ruang kosong bila pintu LRT yang tiba terbuka. Paling lucu, acara ini turut disertai oleh ekspatriat dan warga asing yang bekerja di Malaysia.

Seandainya budaya menghargai dan mengiktiraf kerja, usaha dan kehidupan orang lain tidak ada, apa yang kita harapkan untuk diri kita pada pandangan orang lain?

Yang kukuh di fikiran masyarakat bandar Malaysia ialah, “saya lebih bagus dari dia”, dan “dia tak setaraf saya”, dan inilah yang menjadi sebahagian punca lunturnya budi bahasa rakyat Malaysia yang seterusnya mencorakkan darjah kebiadaban yang sebenarnya kita sendiri ciptakan.– MIMPIKAN REALITI, Ipoh, Perak

Ruangan Forum, Utusan Malaysia, 7 Julai 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm