Thursday, November 13, 2008

Asimilasi dahulu sebelum minta jawatan PM

Kemenangan Barack Obama dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) menjadi inspirasi kepada bukan Melayu di Malaysia untuk menjawat jawatan Perdana Menteri. Kata mereka, batas warna kulit kini sudah tidak ada. Batas perkauman bukanlah sesuatu yang perlu menjadi penghalang kepada pemilihan Perdana Menteri di negara ini.

Tetapi mereka butakan mata kepada kenyataan bahawa pemilihan Obama berlaku setelah beliau berusaha keras menolak pendapat yang mengaitkannya dengan Islam. Obama semahu-mahunya menyebut bahawa dia dilahir dan dibesarkan sebagai seorang Kristian.

Pun begitu, dalam forum-forum Internet berpangkalan di AS, beribu-ribu pembenci Obama tetap mengaitkannya dengan Islam. Dia tetap dianggap sebagai seorang yang perlu ditakuti hanya kerana bapanya seorang Muslim Kenya.

Mengapakah bukan Melayu di negara ini yang inginkan jawatan Perdana Menteri Malaysia ini membutakan mata pada fakta bahawa, walaupun keterbukaan yang dicanangkan, kecenderungan untuk memihak kepada kumpulan majoriti tetap berlaku.

Jangan mengambil contoh kemenangan Obama sebagai penghapus batas perkauman di AS sekiranya batas keagamaan tetap menjadi penghalang pemilihan pemimpin.

Dalam UMNO, terdapat jika tidak beratus, mungkin berpuluh-puluh Cina Muslim yang menjadi ahli yang kompeten dan aktif berpolitik. Mereka dengan bangga telah terasimilasi sebagai umat Melayu.

Ini sesuai dengan definisi Melayu mengikut Perlembagaan ialah seorang yang beragama Islam dan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan harian.

Tetapi itu tidak membuatkan mereka hilang kecinaan. Mereka masih bebas menguasai dan bertutur bahasa ibunda mereka

Malaysia boleh memiliki Perdana Menteri berbangsa Cina. Dan UMNO tidak ketandusan ahli politik berketurunan Cina yang beragama Islam yang mampu memanjat tangga politik di negara ini untuk menjadi Perdana Menteri.

Para pemimpin MCA, DAP, Gerakan dan PKR yang berbangsa Cina dan bukan beragama Islam seharusnya berhenti bermimpi dan ambil iktibar daripada pilihan raya Presiden AS yang penuh onak dan duri akibat isu agama.

Keengganan bukan Melayu untuk berasimilasi satu ketika dulu meletakkan mereka sebagai pihak yang hari ini belum layak untuk menjadi pengemudi bahtera politik negara ini. Soal agama tidak payah diceritakan kerana jelas, rata-rata mereka dipengaruhi Islamofobia hingga takutkan istilah 'negara Islam' untuk dipakai di negara ini.

Jika dahulu konsep 'Satu Bangsa, Satu Negara, Satu Bahasa' diamalkan mungkin telah lama bangsa yang asalnya 'bukan Melayu' ini menjawat jawatan Perdana Menteri. Tetapi harus diingat, kekangan akibat perbezaan agama tetap ada seperti mana berlaku di AS.

Siapa yang sedar bahawa Thaksin Sinawatra atau nama Cinanya, Khoo Tat Seng sebenarnya berketurunan Cina Hakka dari Meizhou, Guangdong yang moyangnya tiba di Siam pada tahun 1860-an. Beliau telah berjaya terasimilasi ke dalam bangsa Siam. Namun, setelah menjawat jawatan Perdana Menteri Thailand, apakah kebaikan yang dibawa olehnya ke atas bangsa Siam.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong membuat kenyataan bahawa negara itu mungkin boleh dipimpin oleh Perdana Menteri dari kaum Melayu-Islam.

Tetapi pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa sentimen majoriti menguasai segala-galanya dan kemungkinan untuk melihat perkara tersebut berlaku bukanlah dalam masa terdekat. Gula-gula retorik ini enak dipandang tetapi tak mungkin dapat dipegang.

Di AS, Obama mendapat 52 peratus daripada keseluruhan undi. Sekiranya keseluruhan penduduk Afrika Amerika, Hispanik dan Asia memberikan undi kepadanya, jelas bahawa 74 peratus daripada pengundi Caucasian enggan mengundi Obama.

Sepatutnya mereka yang membawa idea masanya telah tiba untuk jawatan Perdana Menteri disandang oleh kaum bukan Melayu, haruslah membuat kenyataan berdasarkan kajian menyeluruh bagi mengelakkan pendapat mereka dilabel sebagai idea bertaraf 'yang membahayakan kesihatan' semata-mata.

SYAMSYUL FADZLI MAT
Kuala Lumpur


Ruangan Pendapat, Utusan Malaysia, 11 November 2008

Klik di sini untuk rujukan arkib Utusan Malaysia

1 comment:

Anonymous said...

Utusan Malaysia, Rencana, Khamis, 13 November 2008

Politik tentukan siapa PM

Oleh BAKHARI ARIFF

RENCANA Pengarang Utusan Malaysia Isnin lalu memberikan reaksi yang menarik apabila ada segelintir rakyat negara ini tiba-tiba mahu berpedomankan lelaki bukan kulit putih, Barack Obama sebagai Perdana Menteri Amerika Syarikat (AS) yang baru.

Isu pokoknya apakah mungkin Perdana Menteri Malaysia juga bukan orang Melayu? Rencana Pengarang dan juga Syamsyul Fadzli Mat menulis dalam ruangan Pendapat turut melontarkan amarah yang sama: ''Mengapa kaum bukan Melayu tidak pernah mahu bersama dengan cita-cita negara sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak Hussein melalui Penyata Razaknya, untuk berasimilasi sebagai sebuah rakyat Malaysia?

Hujah rencana Pengarang dan Syamsyul ada logiknya kerana hampir tidak ada negara, termasuk AS yang membenarkan sekolah aliran bukan kebangsaan boleh bergerak seiring dengan sekolah kebangsaan yang kebetulan bahasa pengantarnya bahasa Melayu, berbanding sekolah jenis kebangsaan.

Namun demikian, realiti atau bakal menjadi realiti berbeza dengan hasrat kebanyakan orang Melayu. Ini kerana realiti biasanya bergerak atas landasan dan hukum tertentu, yang memungkinkan orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, bergantung atas kesedaran dan kebijaksanaan mengatur strategi politik.

Walaupun Menteri Besar Perak ialah orang Melayu daripada Pas yang memenangi enam kerusi dalam pilihan raya Mac 2008, namun kemenangan 18 kerusi daripada DAP menjadikan Menteri Besar berkenaan terpaksa bergantung kepada kehendak dan suara parti majoriti dalam menentukan dasar negeri.

Itupun kerana Perlembagaan Tubuh Negeri yang mewajibkan Menteri Besar mesti daripada orang Melayu. Jika tidak ada peruntukan berkenaan, Sultan Perak mungkin tidak mempunyai pilihan melainkan melantik parti majoriti sebagai Menteri Besar. Perlembagaan Tubuh Negeri Pulai Pinang tidak menyatakan seseorang Melayu atau Bumiputera mesti menjadi Ketua Menteri, maka DAP yang memenangi 19 kerusi berbanding UMNO yang hanya memenangi 11 kerusi terpaksa menyerahkan kepemimpinan tertinggi kepada Lim Guan Eng.

Begitu juga UMNO memenangi kerusi tertinggi di Dewan Undangan Negeri Selangor dengan mendapat 20 kerusi, berbanding DAP (13), Parti Keadilan Rakya (15) dan Pas (8), namun Menteri Besar diberikan kepada PKR sebagai pemenang kerusi tertinggi dalam pakatan pembangkang.

Sekali lagi suara DAP boleh berkumandang dengan mendapat lindungan daripada Menteri Besar kerana rasa terima kasih tidak terhingga PKR terhadap DAP. Baik di Selangor mahupun Perak menyaksikan dasar yang mengguris hati kebanyakan orang Melayu kerana memberikan tanah pajakan sementara (TOL) kepada tanah tetap sehingga dikatakan pajakan itu dipanjangkan sehingga 999 tahun, malah menghadiahkan lagi tanah kepada sekolah persendirian Cina.

Andai kata Obama menyaksikan dasar pembinaan negara bangsa Malaysia seperti ini mungkin beliau akan terkejut. Jika diceritakan lagi penyatuan yang mahu dibuat menggunakan kaedah Sekolah Wawasan dengan menghimpunkan tiga kaum utama dalam satu kawasan juga turut ditolak oleh kaum bukan Melayu, terutamanya kaum Cina, Obama akan ketawa kerana Malaysia sentiasa seperti telur dihujung tanduk.

Di Kedah yang diperintah oleh Pas, Menteri Besarnya Datuk Seri Azizan Razak mampu mengemukakan dasar yang tidak terlalu mengambil kira pandangan DAP ataupun bukan Melayu di dalam PKR.

Dengan penuh yakin, sebagai contoh, Azizan berani mengemukakan dasar 50 peratus perumahan diperuntukkan kepada orang Melayu yang memancarkan komposisi kaum di negara ini, sedangkan kerajaan Persekutuan yang bertulangbelakangkan UMNO sendiri tidak berani melaksanakan dasar berkenaan.

Malah, kerajaan Persekutuan bukan sahaja menghilangkan peruntukan biasiswa yang sepatutnya menjadi milik mutlak orang Melayu kerana tercatat dalam Perlembagaan Perkara 153, dan menghapuskan kuota 50 peratus orang Melayu ke universiti, dengan memperkenalkan dasar meritokrasi atas desakan dan kehendak kaum bukan Melayu.

Ini menjadikan orang Melayu dalam dilema - menyokong UMNO turut memberi banyak kelebihan kepada orang bukan Melayu seperti berlaku terhadap beberapa dasar pokok kerajaan Persekutuan, manakala menyokong Pas seperti di Perak akan menyebabkan dasar turut memberi kelebihan kepada bukan Melayu kerana majoriti kerusi milik bukan Melayu, apa lagi menyokong PKR yang semangatnya telah dikuasai oleh bukan Melayu.

Namun yang nyata berlaku, apabila Melayu lemah iaitu kerusi orang Melayu atau kerusi UMNO tidak banyak di Parlimen mahupun di DUN, maka desakan dan dasar negeri atau negara tidak berpihak kepada orang Melayu.

Mendesak

Pilihan raya 1999 menyaksikan kemenangan pembangkang yang agak banyak lantaran ketika itu orang Melayu sedang berpecah dan bingung ekoran kes seorang yang dihadapkan ke mahkamah kerana kes liwat, dan pada ketika itulah munculnya kumpulan yang menamakan diri mereka Suqiu untuk mendesak pelbagai tuntutan.

Ia tidak berlaku pada pilihan raya 2004 kerana orang Melayu mula menunjukkan penyatuan lalu memberikan kemenangan kepada UMNO, cukup untuk membentuk kerajaan bermajoriti mudah, walaupun tidak bergabung dengan parti lain.

Contoh paling klasik tentulah pilihan raya 10 Mei 1969 kerana tiga hari selepas itu berlaku pertumpahan darah, apabila Perikatan memenangi hanya 74 berbanding pakatan pembangkang 70 kerusi.

Begitulah juga pilihan raya Mac 2008 menyaksikan UMNO seperti sudah jatuh ditimpa tangga, maka bukan sahaja orang bukan Melayu di barisan pembangkang yang akan mengenakan tekanan tetapi juga rakan-rakan bukan Melayu dalam barisan yang sama.

Jika begitu senario politiknya, maka secara hipotetikalnya orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri kerana Perlembagaan tidak menghalang orang bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri.

Strategi yang boleh digunakan dalam konteks sekarang termasuklah memperkuatkan lagi barisan pembangkang supaya pengundi Melayu majoritinya memilih parti dalam pasukan pembangkang. Dengan kata lain, UMNO mesti dilemahkan.

Cara melemahkan UMNO tidaklah memerlukan mukjizat, cukup dengan hanya melekakan dengan ringgit dan sen seperti menjadikan semua ahli UMNO peniaga atau kontraktor yang bergantung hidup dengan bukan Melayu.

Barisan muda seperti Pemuda dan Puteri disogokkan dengan wang yang mudah seperti memberikan projek pembinaan sekolah, kolej komuniti atau politeknik, supaya mereka bukan lagi bercakap mengenai pendidikan anak bangsa, tetapi pembinaan bangunan yang sekurang-kurangnya margin keuntungan 10 peratus, walaupun diserahkan projek berkenaan kepada bukan Melayu.

Dengan demikian orang Melayu akan melupai realiti dan matrik politik semasa, yang pada bila-bila masa boleh terserah kepada bukan Melayu.Ini kerana kerusi majoriti di Dewan Rakyat bagi bukan Melayu sekitar 71 manakala bagi kerusi majoriti Melayu ialah 134 sahaja. Jika separuh daripada kerusi berkenaan berpihak kepada pembangkang, iaitu 67 kerusi, maka bilangan kerusi UMNO hanya 67.

Jika pembangkang dapat membentuk kerajaan dengan bilangan kerusi yang bukan majoriti Melayu 71 dan ditambah dengan 67 lagi kerusi orang Melayu tetapi pembangkang, maka pada waktu itu majoriti kerajaan Persekutuan ialah bukan Melayu.

Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai banyak pilihan melainkan memberikan kepada pembangkang jawatan Perdana Menteri dan pembangkang bermesyuarat siapakah yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri - melihat kepada angka bukan Melayu majoriti kerusi maka jadilah Perdana Menteri bukan Melayu.

Pada waktu itu, menangis air mata darah tidak bererti apa-apa kerana fakta dan undang-undang mewajarkan perkara itu berdasarkan matrik politik semasa.