Tuesday, January 25, 2005

Bukan semua kakitangan awam tidak berdaya saing

Saudara Pengarang,

TIDAK adil rasanya melihat laporan akhbar akhir-akhir ini memperkatakan seolah-olah kakitangan awam tidak menjalankan tugas dengan baik.

Ini memberi tanggapan negatif masyarakat terhadap kakitangan sektor awam dengan memberi gambaran bahawa seluruh kakitangan awam tidak menjalankan tugas dengan sempurna, tidak berkhidmat dengan sepenuh hati dan tidak mesra pelanggan.

Masyarakat harus tahu bahawa bukan semua kakitangan awam tergolong dalam golongan yang tidak dinamik dan berdaya saing berbanding kakitangan swasta.

Ramai golongan muda dalam kakitangan awam yang ingin membawa pembaharuan atau anjakan paradigma tetapi `tergendala' akibat faktor tradisi bekerja kakitangan lama.

Terdapat kerani lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkebolehan membina laman web, diminta oleh jabatan untuk membina dan menyelenggara laman web untuk jabatan tersebut walaupun hanya dibayar gaji asas P1T1 Gred N17 iaitu RM656.30 sebulan kerana baru memulakan khidmat dalam sektor awam.

Namun oleh kerana semangat untuk meningkatkan mutu sektor awam, tugas yang diberi dipikul dengan bangga kerana memikirkan bahawa beribu-ribu ringgit telah dijimatkan oleh jabatan tersebut.

Ada juga kakitangan awam yang sanggup bekerja hingga 11 jam sehari tanpa membuat tuntutan lebih masa kerana menyiapkan invois atau urusan yang berkaitan dengan pembayaran yang perlu dibuat kepada pihak pembekal.

Tetapi yang hanya diketahui oleh masyarakat ialah tentang sebilangan kakitangan awam yang goyang kaki, tidak menghormati pelanggan dan bersikap `lepas tengkuk' dalam berurusan dengan pelanggan.

Sehubungan itu bagi meningkatkan prestasi kakitangan awam, maka ikutlah kaedah pihak swasta yang hanya memberi kenaikan gaji pada kakitangan yang produktif dan memberi imbuhan kepada kakitangan yang sanggup memikul tugas di luar bidang jawatannya. - KERANI SERBAGUNA, Kuala Lumpur.

Forum, Utusan Malaysia, 25 Januari 2005


http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

No comments: