Tuesday, March 28, 2006

Kit Siang tidak faham isu kakitangan awam


Saudara Pengarang,

KENYATAAN Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat berhubung pengisian penjawat awam yang dikatakan didominasi oleh kaum Melayu menunjukkan sekali lagi sikap beliau yang mahu menjadi jaguh berhubung isu yang beliau sendiri kurang faham.

Elok perkara ini dijelaskan mengikut perspektif kakitangan sokongan yang merupakan majoriti kakitangan awam.

Kit Siang seharusnya memulihkan tahap penguasaan bahasa rasmi negara di kalangan bukan Melayu yang beliau dakwa tidak mendapat tempat di dalam perkhidmatan awam.


Ini kerana, jika dilihat kepada kelayakan akademik bagi kakitangan kumpulan sokongan khususnya kerani, kepujian dalam bahasa Melayu menjadi asas untuk dapat melicinkan jentera pentadbiran sesebuah jabatan kerajaan kerana bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi perkhidmatan awam Malaysia.

Berdasarkan fakta tersebut, Kit Siang wajar melihat sejauh mana tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu di Malaysia hasil daripada pembelajaran berobjektifkan peperiksaan yang selama ini digunapakai.

Jika segolongan pelajar bukan Melayu itu memperoleh keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, sudah tentu mereka ini lebih cemerlang dalam mata pelajaran lain.

Lantaran itu, tidak mungkin mereka akan menduduki kerusi empuk bergaji rendah di dalam perkhidmatan awam andainya mereka mempunyai peluang untuk meneroka alam kerjaya yang lebih baik.

Yang hendak ditekankan ialah apakah baki golongan (yang kurang cemerlang) menguasai bahasa Melayu dengan baik? Apakah nanti seluruh pentadbiran negara akan menggadaikan penggunaan bahasa Melayu hanya untuk memenuhi kerenah sebilangan kecil yang kononnya terpinggir?

Benar, sekiranya keupayaan berbahasa kebangsaan dengan baik ada pada setiap rakyat Malaysia, tidak mustahil permohonan jawatan sokongan di dalam perkhidmatan awam di Malaysia tidak memerlukan syarat kepujian dalam Bahasa Malaysia.

Tetapi itukah realiti Malaysia hari ini? Kita dapat lihat, ketua pembangkang sendiri berbahasa kebangsaan dengan cara yang tunggang-langgang di Dewan Rakyat.

Itu bagi keseluruhan penjawat awam. Sila Kit Siang dedahkan pula pecahan etnik bilangan kakiangan awam peringkat Gred 41 hingga 54 di negara ini yang menjadi tiang dalam perkhidmatan awam. Adakah statistiknya sama?

Kita jangan lupa perangai pembangkang yang membangkitkan isu ketuk-ketampi yang kononnya melibatkan rakyat China dulu.

Akhirnya, pembangkang membisu setelah ternyata yang dikenakan hukuman tersebut adalah orang Melayu.

- KERANI BENGANG,
Ipoh, Perak.

Forum, Utusan Malaysia, 28 Mac 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

1 comment:

Fadzli Saad said...

SAYA terpanggil memberi komen mengenai polemik kurangnya penyertaan kaum bukan Melayu dalam perkhidmatan awam seperti yang dibangkitkan baru-baru ini.

Saya ingin berkongsi pengalaman diri sendiri untuk tatapan pembaca sekalian. Saya adalah bekas kakitangan sektor swasta dengan gaji yang agak lumayan, tetapi membuat keputusan meninggalkan pekerjaan ini dan menyertai sektor awam pada usia akhir 20-an.

Saya membuat keputusan ini untuk menyahut seruan kerajaan dan pemimpin supaya lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam.

Harapan saya adalah tinggi terhadap skim dan perkhidmatan awam ini, walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak kerana saya telah pun berkedudukan dalam sektor swasta dan mendapat gaji agak lumayan.

Maka ramai tertanya-tanya mengapakah saya ingin menyertai sektor awam. Jawapan saya adalah kerana bukan sahaja untuk menyahut seruan kerajaan, malah untuk kepuasan diri saya sendiri.

Pada mulanya, kami telah dihantar berkursus selama dua minggu sebelum melaporkan diri untuk bertugas di kementerian masing-masing.

Daripada seramai 350 orang yang dipanggil, hanya lebih kurang 50 orang bukan Melayu. Maka saya terfikir, memang benar bahawa bukan Melayu tidak berminat untuk menyertai perkhidmatan awam. Namun, apakah sebabnya? Setelah itu, saya telah mendapat jawapannya.

Semasa berkursus, kami didedahkan dengan pelbagai aktiviti, sama ada di dalam mahupun di luar kelas. Sememangnya amat menarik. Salah satu tajuk ceramah adalah Budaya Kerja Cemerlang Mengikut Islam yang telah disampaikan oleh seorang ustaz.

Beliau menyampaikan ceramahnya diselang-selikan dengan petikan daripada al-Quran dalam bahasa Arab. Saya terpinga-pinga kerana bukan sahaja tidak memahami bahasa Arab malah terasa ingin mempersoalkan kewajaran kami bukan Melayu dan bukan Islam diwajibkan turut serta dalam ceramah ini. Sepatutnya ini dikhaskan untuk kakitangan beragama Islam sahaja.

Seterusnya, peserta kursus tidak dibenarkan meninggalkan kampus berkenaan tanpa mengambil kira keperluan kami yang bukan Islam untuk menjalankan kewajipan agama kami untuk bersembahyang.

Surau disediakan untuk yang beragama Islam tetapi untuk kami bagaimana? Maka, selama dua minggu itulah kami tidak dapat bersembahyang. Adakah ini patut?

Keperluan makanan kami yang tidak makan daging lembu juga tidak diendahkan sehinggalah seorang pensyarah Institut Tadbiran Awam (Intan) yang bukan Melayu bertindak mengatur keperluan makanan kami.

Nasib baik ada beliau yang memahami keperluan kami. Namun, apakah institut itu yang dipelopori oleh pensyarah dan kakitangan yang 99.9 peratus beragama Islam ini tidak dapat memahami keperluan kami yang bukan beragama Islam?

Sepatutnya kita telah saling memahami keperluan agama masing-masing seperti mana kami bukan Melayu ini memahami keperluan makanan kaum Melayu.

- PEGAWAI KECEWA,

Kuala Lumpur.


Ruangan Forum, Utusan Malaysia, 3 April 2006